Merungkai kusut, memelihara adat

LocalPolitics
8 Jun 2026 • 9:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Merungkai kusut, memelihara adat
Kemuncak krisis menyaksikan tindakan luar biasa institusi Undang memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

NEGERI Sembilan kini berdepan satu kemelut perlembagaan paling parah dalam sejarah moden institusi adatnya.

Polemik berhubung kedudukan Undang dan keabsahan takhta bukan lagi sekadar perbahasan dalam lingkungan istana, sebaliknya telah berkembang menjadi krisis perlembagaan dan adat yang menguji kedaulatan undang-undang negara.

Kemuncak krisis menyaksikan tindakan luar biasa institusi Undang memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar, sedangkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar yang diiktiraf kerajaan negeri dan Persekutuan.

Situasi ini tidak boleh lagi dipandang ringan. Sebarang penundaan tindakan bukan sahaja mencoreng imej keunikan Adat Perpatih, malah mampu menghakis keyakinan rakyat serta menimbulkan ketidakpastian yang tidak menguntungkan negeri.

Justeru, jalan musyawarah dan rundingan perlu diberikan keutamaan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak. Dalam sebuah negeri yang berteraskan Adat Perpatih, segala ruang perdamaian dan muafakat wajar diteroka melalui institusi adat yang diiktiraf serta saluran yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Negeri.

Pada masa sama, proses perundangan yang sedang berjalan perlu dihormati sebagai mekanisme sah untuk memberikan kepastian terhadap pertikaian yang timbul.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) membuka lembaran baharu untuk rakyat memilih kestabilan politik. Namun, mandat demokrasi itu tidak akan membawa makna sekiranya badai dalam institusi adat terus bergelora tanpa penyelesaian konkrit.

Akhirnya, apa yang dipertaruhkan hari ini bukan lagi soal survival individu, tetapi maruah serta kelangsungan sistem adat yang menjadi identiti Negeri Sembilan.

Semua pihak wajib mengetepikan ego kelompok, akur kepada keluhuran perlembagaan dan kembali kepada semangat muafakat hakiki Adat Perpatih demi menyelamatkan negeri daripada terus parah.

Falsafah keramat 'biar mati anak, jangan mati adat' tidak sepatutnya berakhir sebagai tragedi perlembagaan moden yang merugikan rakyat serta menghakis keagungan warisan berzaman.