SHAH ALAM – Mesej tular yang menggunakan nama dan imej Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung ucapan tahniah dan sokongan terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin atas penganjuran Konvensyen Reset adalah palsu.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Pegawai Media kepada Presiden Bersatu, Mohd Ikhmal Abu Bakar, yang memaklumkan bahawa hantaran yang memaparkan gambar Muhyiddin bersama ucapan tahniah berkenaan adalah tidak benar.
Terdahulu, tular satu poster yang memaparkan gambar Muhyiddin bersama ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Larut itu sempena penganjuran Konvensyen Reset yang pertama.
Poster tersebut turut mengandungi beberapa perenggan kenyataan dalam bahasa Inggeris yang kononnya mewakili pendirian Presiden Bersatu terhadap program berkenaan.
Kandungan itu antara lain mendakwa konvensyen berkenaan merupakan platform penting untuk membincangkan pembaharuan negara, tadbir urus, daya tahan ekonomi dan hala tuju masa depan Malaysia.
Selain itu, poster berkenaan turut mengandungi kenyataan yang kononnya mewakili Muhyiddin dengan menyeru perwakilan, peserta dan penyokong Reset agar terus berdiri teguh di belakang perjuangan serta aspirasi Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Hamzah, yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu, dijangka membuat pengumuman penting berhubung masa depan politiknya dalam Konvensyen Reset Malaysia.
Konvensyen yang dirasmikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, itu berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan pada jam 12.30 tengah hari, Sabtu.
Hamzah, yang pernah menjadi Ketua Pembangkang, melancarkan gerakan Reset pada 14 Februari lalu, sehari selepas dipecat daripada Bersatu susulan pertikaian kepimpinan dengan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.






