Mesiniaga raih kontrak RM40 juta bangunkan infrastruktur pelayan PhIS 3.0 untuk Pharmaniaga Logistics

LocalBusiness & Finance
3 Jul 2026 • 2:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mesiniaga raih kontrak RM40 juta bangunkan infrastruktur pelayan PhIS 3.0 untuk Pharmaniaga Logistics Image from: Mesiniaga raih kontrak RM40 juta bangunkan infrastruktur pelayan PhIS 3.0 untuk Pharmaniaga Logistics hamden03/07/2026 - 14:52 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Mesiniaga Berhad memperoleh kontrak bernilai hampir RM40 juta daripada Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. bagi membangunkan Infrastruktur Pelayan Berpusat Baharu untuk Sistem Maklumat Farmasi (PhIS) Versi 3.0.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mesiniaga berkata, syarikat menerima surat penganugerahan kontrak itu pada 2 Julai 2026.

 

"Kontrak bernilai RM39.99 juta, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 30 Jun 2030," katanya.

 

Menurut Mesiniaga, tiada klausa pembaharuan automatik terkandung dalam kontrak berkenaan.

 

Syarikat berkata, risiko utama pelaksanaan kontrak itu melibatkan pematuhan terhadap komitmen tahap perkhidmatan serta tempoh pelaksanaan yang ditetapkan oleh pelanggan.

 

"Bagaimanapun, syarikat telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengurangkan risiko tersebut," katanya.

 

Dari segi kesan kewangan, kontrak tersebut tidak akan memberi impak terhadap modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama Mesiniaga.

 

Namun begitu, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tahun-tahun berikutnya sehingga projek berkenaan siap dilaksanakan pada 2030.

 

Kontrak tersebut merupakan satu lagi kemenangan penting Mesiniaga selepas syarikat itu pada Jun lalu memperoleh pembaharuan kontrak bernilai RM43.28 juta daripada Maybank Shared Services Sdn. Bhd. bagi langganan lesen perisian selama tiga tahun, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan sehingga 2029.

 

Mesiniaga turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved