hamden17/11/2026 - 17:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov – Mesiniaga Bhd memfailkan saman terhadap Assuring Technologies Sdn Bhd dan Wan Rushaidi Imran Wan Abdul Razak bagi menuntut pembayaran semula RM6.76 juta berhubung pertikaian perolehan lesen perisian dan perkhidmatan sokongan bagi satu projek.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 November 2026 menerusi Writ Saman dan Penyata Tuntutan terhadap kedua-dua defendan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mesiniaga berkata tindakan undang-undang itu berpunca daripada dakwaan salah nyata mengenai kuasa Assuring Technologies untuk membekalkan lesen perisian dan perkhidmatan berkaitan.
Menurut syarikat itu, dakwaan berkenaan menjadi asas kepada keputusan Mesiniaga untuk memeterai perjanjian serta membuat pembayaran di bawah perjanjian tersebut.
Mesiniaga berkata, tindakan undang-undang dimulakan selepas pihaknya mengesahkan bahawa Assuring Technologies bukan penjual semula yang diberi kuasa bagi perisian berkenaan.
Sehubungan itu, syarikat mengambil tindakan terhadap kedua-dua defendan atas alasan salah nyata cuai dan/atau pelanggaran kontrak.
Tuntutan
Antara tuntutan yang dikemukakan ialah pengisytiharan bahawa perjanjian berkenaan telah dibatalkan secara sah atau perintah mahkamah untuk membatalkannya.
Mesiniaga turut menuntut pembayaran semula RM6.76 juta, ganti rugi serta faedah pada kadar 5% setahun bermula dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.
Syarikat diwakili peguam daripada Tetuan Soo Thien Ming & Nashrah dalam tindakan undang-undang berkenaan.
Mengenai kesan terhadap perniagaan, Mesiniaga tidak menjangkakan sebarang kesan material serta-merta terhadap operasi syarikat susulan prosiding itu. - DagangNews.com





