hamden17/11/2026 - 18:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - EI Power Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, EI Power Technologies Sdn Bhd (EIPT), menerima subkontrak bernilai RM14.79 juta bagi kerja-kerja sistem bahan api diesel.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat berkata EIPT menerima surat penganugerahan subkontrak itu daripada sebuah kontraktor utama pada 17 November 2026.
Bagaimanapun, identiti kontraktor utama berkenaan tidak didedahkan berikutan kewajipan kerahsiaan dan larangan pendedahan yang ditetapkan dalam perjanjian subkontrak.
Skop kerja merangkumi reka bentuk, perancangan, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan, jaminan serta penyelenggaraan menyeluruh sistem bahan api diesel.
Subkontrak itu berkuat kuasa mulai tarikh penerimaannya, dengan kerja-kerja dijadualkan siap pada November 2027.
EIPT yang diperbadankan pada 3 September 2010, terbabit terutamanya dalam aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan penyelesaian kuasa kritikal misi, penyelesaian kuasa konvensional serta penyelesaian kuasa tenaga boleh diperbaharui (TBB).
Menurut EI Power, subkontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, keuntungan dan aset bersih kumpulan pada masa hadapan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Bagaimanapun, penerimaan kontrak itu tidak dijangka memberikan kesan material terhadap modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat memandangkan ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu.
Selain risiko operasi biasa, lembaga pengarah tidak mengetahui sebarang faktor risiko ketara yang mungkin timbul daripada pelaksanaan subkontrak berkenaan. - DagangNews.com





