
ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, Mesir berkemungkinan menyertai perjanjian pertahanan bersama yang baru ditandatangani Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan. Beliau menegaskan pakatan itu terbuka kepada penyertaan negara lain.
Dalam wawancara eksklusif dengan Al Jazeera, Erdogan berkata, Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah mewajibkan negara anggota mengambil tindakan bersama.
Tindakan bersamaitu boleh diambil sekiranya mana-mana daripada mereka diserang pihak luar.
“Perjanjian ini menghantar mesej penting kepada dunia,” katanya. Erdogan menyatakan penyertaan Mesir adalah antara pilihan untuk peluasan pakatan itu pada masa depan.
Perjanjian yang turut dikenali sebagai Pakatan Mekah itu ditandatangani di kota suci berkenaan pada Jumaat lalu oleh Erdogan, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Perjanjian itu menetapkan serangan bersenjata terhadap mana-mana satu daripada tiga negara berkenaan akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya, iaitu peruntukan pencegahan secara kolektif yang disamakan penganalisis dengan Perkara 5 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Bagaimanapun, pegawai di Islamabad mengingatkan supaya perjanjian itu tidak dianggap sebagai versi NATO atau ditujukan terhadap mana-mana negara tertentu.Beliau berkata, pembukaan semula Selat Hormuz menjadi keutamaan Ankara kerana penutupan berterusan laluan penting itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak.
Beliau turut mengiktiraf peranan Qatar dalam usaha pengantaraan bagi menghentikan pertempuran di rantau berkenaan.
Erdogan berikrar Turkiye tidak akan membiarkan negara jirannya menghadapi pergolakan serantau sendirian, termasuk Syria, Gaza dan Lubnan.
Beliau turut memaklumkan mengenai rancangannya untuk melawat Syria dan menegaskan masyarakat Kurdis di negara itu akan turut menikmati keamanan serta kestabilan.
Katanya, Turkiye akan terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat Kurdis dan melindungi hak mereka di seluruh rantau berkenaan. – AGENSI
The post Mesir berpeluang sertai pakatan pertahanan baharu appeared first on Utusan Malaysia.



