Messi akhirnya tinggalkan Argentina

FootballSports
2 Sep 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Messi akhirnya tinggalkan Argentina

BUENOS AIRES – Selepas lebih dua dekad mengabdikan diri, Lionel Messi akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Argentina apabila mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa secara rasmi, awal pagi semalam.

Messi yang berusia 39 tahun mengetuai La Albiceleste menjulang dua trofi Copa America serta Piala Dunia 2022 sebelum gagal mempertahankan kejuaraan paling berprestij dunia itu selepas tewas aksi final edisi 2026 kepada Sepanyol, Julai lepas.

Menurut Messi, sudah tiba masanya untuk ‘tutup buku’ bersama skuad Argentina dengan memberi laluan kepada generasi baharu.

“Selepas masa yang berlalu sejak final itu dan berfikir secara mendalam, saya mahu semua orang tahu bahawa saya membuat keputusan untuk bersara daripada pasukan kebangsaan. Ini keputusan yang sukar untuk dilakukan, tetapi saya tahu ini masa yang tepat.

“Saya sentiasa memberikan segala-galanya untuk jersi kebangsaan, untuk memberikan kegembiraan kepada anda dan membuatkan anda bangga menjadi rakyat Argentina melalui bola sepak.

“Saya cintakan, pernah mencintai dan akan sentiasa mencintai Argentina, tetapi sekarang saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan,” katanya.

Sebagai reaksi terhadap berita tersebut, Presiden Argentina, Javier Milei menulis di media sosial dengan menganggap Messi sebagai insan luar biasa dan mengucapkan terima kasih dengan jasa yang diberikan kepada bola sepak negara itu.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menyifatkan Messi sebagai salah seorang pemain terhebat yang pernah disaksikan dan mengucapkan terima kasih kerana membawa begitu banyak kegembiraan kepada jutaan peminat bola sepak. – AGENSI

The post Messi akhirnya tinggalkan Argentina appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved