
BUENOS AIRES: Lionel Messi akhirnya mengesahkan pengundurannya daripada pentas antarabangsa selepas 21 tahun menyarung jersi Argentina, mengakui keputusan itu cukup menyakitkan namun tiba pada waktu yang dianggapnya paling tepat.
Bintang berusia 39 tahun itu membuat pengumuman menerusi Instagram selepas membantu Argentina mara ke dua final Piala Dunia berturut-turut, termasuk menjulang trofi pada 2022 sebelum tewas kepada Sepanyol pada final 2026 di Amerika Syarikat.
“Itu keputusan yang menyakitkan dan masih terasa jauh di lubuk jiwa saya, tetapi saya faham inilah masa yang tepat.
“Saya bersumpah saya sentiasa memberikan segala-galanya, bukan hanya dalam beberapa tahun terakhir ketika kami memenangi segala-galanya, tetapi sebelum itu juga, dan saya sentiasa berjuang serta memberikan segala yang saya ada untuk jersi ini,” tulisnya.
Messi menamatkan kempen Piala Dunia 2026 dengan lapan gol dan dua bantuan gol, termasuk persembahan penting ketika Argentina bangkit menewaskan England pada separuh akhir untuk menempah pertemuan dengan Sepanyol.
Namun, hasratnya untuk sekali lagi mengangkat trofi Piala Dunia tidak kesampaian apabila Argentina tunduk 1-0 kepada Sepanyol dalam aksi final di MetLife Stadium, dengan Messi dilihat menangis selepas menerima pingat naib juara.
Kekalahan itu meninggalkan kesan mendalam kepada Messi yang sebelum ini menyifatkan kekecewaan berkenaan sebagai amat besar dan mengakui memerlukan masa yang panjang untuk mengubati luka tersebut.
Dalam pengumumannya, pemenang lapan kali Ballon d’Or itu turut memberi ruang kepada generasi baharu Argentina untuk mengambil alih tanggungjawab di pentas antarabangsa selepas dia merasakan sudah memberikan segala yang termampu.
“Saya mencintai, pernah mencintai dan akan sentiasa mencintai berada dalam pasukan kebangsaan. Saya sudah memberikan segala yang saya ada, saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan dan terdapat pemain muda yang sangat berbakat di belakang saya yang layak berada di sana,” katanya.
Messi membuat penampilan pertama bersama Argentina pada 2005 ketika berusia 18 tahun dan mengakhiri karier antarabangsa dengan 207 penampilan serta 125 gol, selain memenangi dua Copa America pada 2021 dan 2024. – AFP
The post Messi umum persaraan appeared first on Utusan Malaysia.



