
GEORGE TOWN : Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bersetuju mengekalkan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan negeri selaras dengan persefahaman kerjasama atau electoral pact yang terjalin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang lalu.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat PH negeri hari ini yang turut memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Mesyuarat hari ini juga mencapai kesepakatan untuk mengekalkan Exco BN dalam pentadbiran kerajaan negeri, sebagaimana persefahaman kerjasama atau electoral pact yang terjalin dalam PRN Pulau Pinang pada tahun 2023.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai benteng kukuh PH, simbol keyakinan rakyat dan kubu yang mesti terus diperkukuh. Dari Pulau Pinang, kita perlu mencetuskan gelombang baharu yang mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PH di seluruh negara,” katanya selepas mesyuarat PH Pulau Pinang di Wisma DAP, hari ini.
Pentadbiran Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang ketika ini turut disertai seorang wakil UMNO dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, PH Pulau Pinang tidak boleh berasa terlalu selesa dengan rekod pentadbiran yang baik, sebaliknya perlu memperkukuh strategi, kesepaduan serta gerak kerja bagi memastikan sokongan rakyat terus kekal.
“Prestasi kerajaan adalah asas penting. Namun, dalam politik hari ini, persepsi dan sentimen sering bergerak lebih pantas daripada fakta. Jika kejayaan tidak disampaikan dengan berkesan, ia tidak akan diterjemahkan sebagai sokongan di peti undi kelak,” katanya.
Ditanya sama ada PH Pulau Pinang akan meneruskan hubungan dengan BN susulan perkembangan kerjasama politik di Johor dan Negeri Sembilan, beliau berkata, persefahaman PH-BN di Pulau Pinang adalah berdasarkan persefahaman yang dicapai pada PRN 2023.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, BN Pulau Pinang juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau memberi jaminan untuk tidak bekerjasama atau membentuk pakatan dengan Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ketika ini.
“Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sendiri telah menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga PRU akan datang. Itu pendirian rasmi daripada PH dan UMNO. Di peringkat negeri pula, tidak ada apa-apa kenyataan yang bertentangan dengan pendirian ini,” katanya. – UTUSAN
The post Wakil BN dalam Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang kekal appeared first on Utusan Malaysia.






