
Mesyuarat Ke-39 Jawatankuasa Pegawai Kanan Bagi Komuniti Sosio Budaya ASEAN (SOCA)
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), selaku peneraju bagi tonggak Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC), telah menganjurkan Mesyuarat Ke-39 Jawatankuasa Pegawai Kanan bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (SOCA) pada 6 Oktober 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Sebagai badan sokongan utama kepada Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC Council), mesyuarat SOCA memainkan peranan penting dalam menyediakan cadangan serta memudah cara penyelarasan antara Badan Sektoral ASCC.
Berpandukan nilai-nilai Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, keterangkuman, belas ihsan, saling menghormati dan kemakmuran bersama, mesyuarat ini menjadi platform strategik bagi membincang serta memajukan inisiatif serantau yang bertujuan untuk memupuk keamanan, memperkukuh ketahanan, dan menggalakkan budaya saling percaya serta hormat-menghormati dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.
Mesyuarat SOCA ke-39 telah dirasmikan dan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menerusi fungsi terasnya, mesyuarat ini memastikan keselarasan dasar, menyelia pelaksanaan Pelan Induk ASCC, serta menyokong pelaksanaan berkesan Rancangan Strategik ASCC.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan cabaran rentas sektor dengan memperkukuh penyelarasan antara sektor-sektor ASCC selaras dengan keutamaan menyeluruh ASEAN.
Diadakan dua kali setahun sebelum Mesyuarat Majlis ASCC, SOCA terus memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan inklusif dan mampan merentasi landskap sosiobudaya ASEAN.
The post Mesyuarat Ke-39 Jawatankuasa Pegawai Kanan Bagi Komuniti Sosio Budaya ASEAN (SOCA) appeared first on Siakap Keli.


