Mesyuarat khas bincang isu elektrik dipengerusikan PM selesai

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 5:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mesyuarat khas bincang isu elektrik dipengerusikan PM selesai

PUTRAJAYA – Mesyuarat khas bagi membincangkan isu berkaitan tarif dan bil elektrik dilaporkan selesai selepas berlangsung hampir sejam di Bangunan Perbendaharaan di sini tadi.

Difahamkan, mesyuarat berkenaan diadakan sekitar pukul 3.30 petang tadi dan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Fadillah Yusof selain pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Kementerian Kewangan (MoF).

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) ketika didekati sebelum meninggalkan pekarangan MoF memaklumkan satu kenyataan media berkaitan mesyuarat akan menyusul.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan secara lengkap berhubung kenyataan itu.

Mesyuarat berkenaan menjadi perhatian susulan kebimbangan pengguna terhadap peningkatan bil elektrik, khususnya membabitkan penggunaan elektrik yang tinggi serta pelaksanaan mekanisme pelarasan kos bahan api secara automatik (AFA).

Semalam, Anwar memaklumkan kerajaan akan meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terjejas menerusi satu mesyuarat khas.

Kata Anwar sebelum ini, sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.

“Namun, keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas sejak kebelakangan ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.

“Ia menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj, sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA),” jelasnya semalam. – KOSMO! ONLINE

The post Mesyuarat khas bincang isu elektrik dipengerusikan PM selesai appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved