PUTRAJAYA – Mesyuarat khas berkaitan isu tarif dan bil elektrik selesai di selepas sejam berlangsung di Bangunan Perbendaharaan di sini pada Khamis.
Difahamkan, mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jam 3.30 petang.
Mesyuarat dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Kementerian Kewangan (MoF).
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) ketika didekati sebelum meninggalkan pekarangan MoF memaklumkan satu kenyataan media berkaitan mesyuarat akan menyusul.
Bagaimanapun beliau tidak memperincikan kenyataan itu dikeluarkan oleh mana-mana pihak.
Mesyuarat berkenaan menjadi perhatian susulan kebimbangan pengguna terhadap peningkatan bil elektrik, khususnya membabitkan penggunaan elektrik yang tinggi serta pelaksanaan mekanisme pelarasan kos bahan api secara automatik (AFA).
Anwar sebelum ini berkata, sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.





