Seperti diuar-uarkan sebelum ini, Meta AI kini boleh berinteraksi menggunakan suara beberapa selebriti terkemuka dunia. Ini diumumkan ketika acara Meta Connect yang berlangsung awal pagi tadi. Antara pilihan suara selebriti yang boleh dipilih pengguna ialah John Cena, Dame Judi Dench, Awkwafina, Keegan-Michael Key dan Kristen Bell.

Bagi yang tidak mahu menggunakan suara selebriti, pilihan suara sedia ada seperti Aspen dan Atlas masih lagi boleh digunakan. Pada ketika ini ciri penggunaan suara selebriti hanya boleh diakses pengguna di Amerika Syarikat sahaja. Meta tidak berkongsi berapakah bayaran yang diterima selebriti ini untuk hak penggunaan suara tetapi kami telah laporkan sebelum ini mereka membelanjakan beberapa juta Dolar.

Turut dikemaskini ialah kemampuan AI untuk memahami konteks dalam gambar. Ia boleh memberikan resipi untuk kek dalam gambar yang dimuat naik pengguna. Ia juga boleh melakukan suntingan gambar seperti menukar latar belakang atau mengubah apakah yang dipakai pada tubuh semuanya dengan menggunakan arahan suara sahaja.

Di Facebook, kemampuan menjana imej menggunakan AI generatif turut dipertingkatkan lagi. Ia boleh diarahkan untuk menjana imej pengguna dalam pelbagai situasi fantasi. Kapsyen juga boleh dihasilkan oleh Meta AI berdasarkan imej yang dijana. Bagi pengguna Messenger pula, latar belakang chat juga boleh dijana oleh AI.

Meta turut mengumumkan ciri AI Translation sedang diuji oleh sebahagian kecil pengguna. Menerusinya audio video yang dimuat naik ke Instagram dan Facebook akan dialih bahasa secara automatik. Bukan sahaja audio tetapi pergerakan bibir dalam video akan juga diubah supaya selari dengan apa yang dicakapkan. Pada waktu ini ciri hanya menyokong Bahasa Inggeris dan Sepanyol serta diberikan kepada pengguna Amerika Syarikat dan Amerika Latin sahaja.
Akhir sekali kepada pengguna akaun perniagaan di WhatsApp dan Messenger, chatbot Meta AI kini lebih bijak dan pantas menjawab soalan sebagai ganti diri pemilik. Soalan-soalan lazim akan dijawab oleh chabot bagi meringankan tugas peniaga daripada perlu melayan ratusan soalan yang mungkin diterima setiap hari.

