Sebelum ini wujud laporan Meta membangunkan jam tangan pintar dengan kod nama Malibu 2. Tetapi projek ini tidak diteruskan bagi memberikan tumpuan kepada cermin mata pintar. Tetapi pagi ini muncul laporan daripada The Information yang mengatakan Malibu 2 akan dibangunkan semula dengan ia akan dipasarkan tahun ini.

Projek asal dihentikan sekitar 2022. Apabila dilancarkan nanti, Malibu 2 akan mempunyai kemampuan menjejak kesihatan dan turut menyokong pembantu maya Meta AI. Pasaran jam tangan pintar masih didominasi Apple Watch dan Meta memasuki pasaran yang kini dipenuhi pelbagai model jam tangan pintar.
Apakah ciri menarik yang akan menjadikannya unik berbanding pesaing? Kami ramalkan ia mungkin hadir dengan sensor IMR membolehkan kawalan seperti gelang Meta Neural Band yang dijual bersama Meta Ray-Ban Display.
Tahun lalu Meta berjaya menjual lebih 7 juta pasang cermin mata pintar menerusi kerjasama Ray-Ban dan Oakley. Ini adalah jumlah yang lebih tinggi berbanding gabungan jualan sepanjang 2024 dan 2023.

