Meta Menguji Ciri Pengecaman Wajah AI Untuk Membendung Penipuan Menggunakan Wajah Selebriti

TechnologyDigital
22 Oct 2024 • 2:24 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sangat menarik untuk melihat teknologi kecerdasan buatan generatif semakin berkembang tetapi amat mendukakan apabila teknologi bagus ini disalahgunakan untuk tujuan menipu. Antara yang telah berlaku adalah menggunakan wajah selebriti atau orang ternama dalam iklan menipu seperti yang berlaku kepada Khairul Aming. Untuk membendung masalah ini, Meta mula menguji ciri pengecaman wajah dengan AI.

image is not available

Masalah yang berleluasa ini digelar sebagai celeb-bait iaitu memancing orang dengan wajah individu ternama. Ciri ini akan membandingkan iklan palsu yang dilaporkan dengan data imej dari profil Facebook dan Instagram individu berkenaan. Apabila disahkan palsu, barulah iklan tersebut dipadam. Meta turut menegaskan yang tiada data wajah disimpan kerana ciri ini hanya digunakan untuk membendung penipuan, setiap data akan dipadam selepas iklan palsu berjaya dihalang.

image is not available

Ciri ini diuji pada sekumpulan individu terkenal terlebih dahulu dan menurut Meta, mereka telah menerima maklum balas yang positif. Pada masa yang sama, Meta turut mula menguji ciri merakam video swafoto untuk memulihkan akaun yang telah dikunci selepas didapati akaun tersebut diambil-alih oleh penipu. Konsep yang sama, Meta akan menggunakan data video dan membandingkan dengan data wajah lain yang ada pada Facebook serta Instagram pengguna.