Meta mengumumkan kecerdasan buatan (AI) generatif terkini mereka yang bukan sahaja mampu menjana video berdasarkan input teks pengguna tetapi turut boleh menghasilkan audio yang bersesuaian dengan visual yang dijana. Yang menjadikan Movie Gen unik berbanding AI menjana video yang lain ialah kemampuan untuk ia diperibadikan oleh pengguna. Model terkini daripada Meta ini dilatih menggunakan 30 bilion parameter dengan kemampuan menjana video 16 saat pada kadar 16 bingkai sesaat.
Pertama sekali ialah pengguna boleh memberikan gambar sebagai rujukan. Kemudian video yang dijana akan menggunakan gambar rujukan sebagai asas untuk video yang dihasilkan. Anda mungkin ingin menghasilkan video diri anda menunggang basikal misalnya. Muat naik gambar ke Movie Gen dan video anda menunggang basikal akan dijana.

Ciri kedua yang boleh dilakukan Movie Gen ialah suntingan dilakukan dengan lebih terperinci. Video menunggang basikal tadi boleh disunting dengan mengubah warna baju, menambah/membuang objek latar belakang dan menukar ke waktu malam misalnya. Dengan suntingan lebih terperinci, output video yang dijana akan dapat dikawal dengan lebih baik bagi memenuhi keperluan pengguna.
Akhir sekali model untuk janaan audio pula dilatih menggunakan 13 bilion parameter. Ini membolehkan Movie Gen menjana muzik latar belakang dengan audio untuk video sehingga 45 saat. Meta melihat Movie Gen akan digunakan dalam WhatsApp untuk menghasilkan video untuk hari jadi atau kandungan Reels di Instagram.



