Di acara Meta Connect pagi tadi Meta secara rasmi memperlihat prototaip cermin mata pintar realiti terimbuh (AR) mereka Orion. Orion berbeza dengan produk-produk mereka yang lain kerana kandungan dipaparkan terus pada cermin Orion untuk menggabungkan dunia nyata dengan dunia maya.
Orion boleh dikawal menggunakan pergerakan mata, gestur dan juga sistem kawalan neural dengan hanya berfikir menerusi gelang pada tangan. Ini ialah sama dengan gelang tangan teknologi electromyography (EMG) yang diperlihatkan oleh Meta pada tahun 2022 untuk kawalan peranti dengan hanya berfikir.

Dengan kata lain Orion menawarkan pengalaman seperti menggunakan Apple Vision Pro atau Meta Quest tetapi pada sebuah cermin mata dan bukannya set kepala yang besar. Menurut Mark Zuckerberg, Orion hanya seberat 100 gram dengan sudut pandangan 70 darjah yang paling lebar pernah ditawarkan pada sebuah cermin mata pintar. Sistem pemancar Micro LED digunakan pada kaca yang diperbuat daripada karbid silikon.

Bagi mengurangkan berat Orion, kesemua kuasa memproses diletakkan dalam sebuah peranti berasingan berbentuk bujur yang ditambat secara nirwayar kepada cermin mata. Peranti ini boleh disimpan di dalam poket pengguna. Seterusnya pelbagai sensor dan kamera pula diletakkan pada bahagian tangkai bagi menjejak gestur pergerakan tangan pengguna.

Meta tidak berkongsi spesifikasi pemproses tetapi besar kemungkinan dikeluarkan oleh Qualcomm kerana Meta menandatangani perjanjian dengan syarikat ini tahu lalu. Saiz bateri serta hayat penggunaannya juga tidak diumumkan.

Apabila dipakai, kesemua elemen realiti maya akan terapung dalam pandangan mata pengguna. Orion berjaya merealisasikan teknologi Project Nazare yang diperlihatkan Meta pada tahun 2021. Yang menjadikan cermin mata ini pintar ialah penggunaan Meta AI sebagai otak.
Ia memahami apa yang dilihat dengan ia mampu memberikan konteks dan memberikan jawapan kepada soalan yang diberikan dalam bentuk audio dan teks yang terapung. Apabila melalukan sesi telesidang, avatar pemanggil akan terapung secara 3D menggunakan teknologi Codec Avatar.

Walaupun Orion ialah cermin mata AR yang paling berkuasa dan ringan pernah dihasilkan, ia masih kelihatan lebih tebal jika dibandingkan dengan cermin mata biasa ataupun Ray-Ban Meta yang dikeluarkan sebelum ini. Namun begitu, ini boleh dimaafkan ketika ini kerana ia masih lagi sebuah prototaip.

![Kasih Seorang Ayah! Bapa Masih Belikan Barang Dapur Walaupun Anak Dah Kahwin Buat Ramai Tersentuh [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)
![“Kelantan Mendunia” – Ramai Teruja Lihat Minah Salleh Enjoy Berdikir Barat [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)