Meta Padam Ratusan Akaun & Page ‘Palsu’ Di FB Serta Instagram. Dakwa Ia Ada Kaitan Dengan PDRM

6 Aug 2022 • 1:42 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Syarikat media terkemuka, Meta Platform Incorporated, menutup lebih 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia yang didakwanya akaun palsu kerana menjadi ‘troll farm’ – dalam kata lainnya sesebuah akaun atau halaman yang dicipta untuk mempromosikan kerajaan dan dalam masa sama menghentam pembangkang.

Menerusi satu laporan yang dikeluarkan syarikat induk Facebook itu, sebahagian dari akaun tersebut telah dipadam kerana melanggar polisi koordinasi perlakuan tidak sahih (Coordinated Inauthentic Behaviour – CIB).

Dakwa segelintir akaun ada kaitan dengan PDRM

Lebih mengejutkan apabila Meta di dalam laporan tersebut mendakwa ada di antara akaun-akaun palsu itu mempunyai kaitan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Meta, di Facebook sahaja sejumlah 596 akaun, 180 laman ‘Pages’ dan 11 ‘Group’ telah dipadam manakala 72 akaun Instagram telah ditutup kerana menjadi sebahagian daripada jaringan itu.

Jaringan ini menurut mereka berasal dari Malaysia dengan sasaran mereka adalah audiens domestik di negara ini.

Tambah Meta lagi, hasil dapatan mereka mendapati kira-kira AS$6,000 (RM26,739) yang dibayar menggunakan Ringgit Malaysia (RM) telah dibelanjakan oleh ‘troll farm’ tersebut untuk pengiklanan di Facebook dan Instagram.

image is not available

PDRM nafi dakwaan

Menyedari kewujudan laporan tersebut, PDRM tampil menerusi satu kenyataan media menafikan dakwaan mereka ada kaitan dengan akaun-akaun terlibat.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, pihaknya sama sekali tidak terlibat seperti apa yang didakwa oleh Meta Platform Incorporated.

“PDRM menafikan kenyataan Meta Platform Incorporated yang mendakwa terdapat akaun-akaun palsu di media sosial yang mempunyai kaitan dengan agensi itu.

“PDRM juga sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

image is not available