
WASHINGTON: Syarikat induk Facebook, Meta Platforms bersetuju untuk membayar sehingga AS$18 bilion (RM72.5 bilion) dalam tempoh satu dekad akan datang serta memperketat had penggunaan Facebook dan Instagram bagi golongan remaja.
Ia dibuat menerusi perjanjian penyelesaian dengan hampir kesemua negeri di Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan memicu ketagihan dalam kalangan kanak-kanak.
Lapor Reuters, perjanjian penyelesaian yang diumumkan pada Rabu itu menamatkan perbicaraan persekutuan atas tuduhan bahawa produk keluaran Meta membahayakan golongan kanak-kanak serta mengelirukan orang ramai mengenai tahap keselamatan platform mereka.
Empat daripada negeri terbabit iaitu California, Colorado, Kentucky dan New Jersey sebelum ini dijangka menuntut penalti sivil berjumlah hampir AS$200 bilion (RM805.6 bilion).
Meskipun Meta tidak akan melakukan perombakan asas secara menyeluruh, perjanjian berkenaan mewakili usaha komprehensif bagi menetapkan cara syarikat berkenaan memberikan perkhidmatan kepada pengguna muda.
Langkah ini juga dijangka menjadi rujukan bagi menyelesaikan ribuan saman lain terhadap syarikat media sosial, ketika kerajaan di seluruh dunia sedang berusaha menyekat akses kanak-kanak kepada kandungan dalam talian yang berbahaya, termasuk tindakan Australia yang melarang penggunaan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun.
“Fokus utama kes ini adalah untuk melindungi kanak-kanak. Penyelesaian yang kita capai ini sangat bermakna dan melangkaui apa yang pernah atau bakal diperintahkan oleh mana-mana mahkamah,” kata Peguam Negara Colorado, Phil Weiser dalam satu kenyataan.
Menerusi perjanjian tersebut, Meta bersetuju untuk mengehadkan penggunaan Facebook dan Instagram bagi remaja kepada dua jam sehari serta menyekat sebarang penggunaan dari jam 12 tengah malam hingga 6 pagi, melainkan jika mendapat kebenaran daripada ibu bapa.
Had ini boleh diperketat sekiranya platform media sosial lain seperti Snapchat, TikTok dan YouTube turut menerima pakai terma yang sama.
Meta juga akan mematikan kebanyakan pemberitahuan kepada pengguna remaja pada waktu persekolahan iaitu dari pukul 8 pagi hingga 3 petang, selain meningkatkan langkah pencegahan bagi menghalang kanak-kanak mengakses kandungan berhad umur.
Bagaimanapun, penyelesaian berkenaan tidak mewajibkan Meta menghentikan sistem cadangan peribadi atau iklan bersasar.
Ia juga tidak menangani beberapa isu kandungan yang dikenal pasti oleh penyelidik Meta sendiri sebagai bermasalah, termasuk hantaran di Instagram yang membuatkan pengguna rasa tidak selesa dengan imej fizikal mereka.
Meta menafikan sebarang salah laku dalam persetujuan penyelesaian tersebut. Jumlah keseluruhan bayaran gantirugi berkenaan dianggarkan menyamai keuntungan syarikat bagi tempoh tiga hingga empat bulan, atau sekitar pendapatan bulanan Meta.
“Memastikan golongan remaja mendapat pengalaman yang selamat dan produktif di platform kami merupakan kewajipan mutlak bagi Meta. Kami mahu melakukan yang terbaik untuk ibu bapa dan remaja,” kata syarikat yang berpangkalan di Menlo Park, California itu dalam satu hantaran di blog rasminya.
Susulan pengumuman berkenaan, saham Meta melonjak sehingga 4.1 peratus sebelum ditutup tinggi pada kadar 1.1 peratus.
The post Meta setuju bayar RM72.5 bilion selesai saman ketagihan media sosial kanak-kanak di AS appeared first on Utusan Malaysia.





