Meta Tingkatkan Keselamatan Dalam Talian Melalui Teknologi Lebih Pintar

TechnologyDigital
12 Mar 2026 • 11:40 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Penipuan dalam talian semakin meruncing dan menimbulkan kebimbangan kerana sindiket jenayah siber kini beroperasi dengan cara yang lebih licik serta sukar dikesan. Menyedari ancaman yang semakin serius ini, Meta hadir dengan langkah baharu untuk melindungi pengguna di platform utama mereka.

image is not available

Di Facebook, Meta sedang menguji sistem amaran yang akan memberi peringatan apabila pengguna menerima atau menghantar permintaan rakan daripada akaun yang mencurigakan misalnya tiada ramai rakan bersama atau lokasi profil yang berbeza. Sementara itu, di WhatsApp, penipu kerap cuba menjerat mangsa dengan memautkan akaun mereka ke peranti mereka menggunakan kod pautan atau QR palsu.

image is not available

Meta menjelaskan bahawa ada penipu yang meminta pengguna memasukkan nombor telefon diikuti kod pautan peranti atau menipu mereka untuk mengimbas QR palsu yang akhirnya menghubungkan akaun mangsa ke peranti penipu. Justeru itu, WhatsApp akan memberi amaran jika terdapat percubaan pautan yang mencurigakan termasuk menunjukkan dari mana permintaan itu datang supaya pengguna boleh berfikir sebelum tertipu.

image is not available

Messenger pula menerima kemas kini dengan pengesanan penipuan lanjutan berasaskan AI. Jika perbualan baharu menunjukkan corak biasa penipuan seperti tawaran kerja palsu, Messenger akan memberi amaran dan mencadangkan tindakan seperti menyekat atau melaporkan akaun tersebut. Selain daripada itu, pengguna juga akan diberikan maklumat tambahan tentang jenis penipuan yang sering berlaku untuk memastikan mereka lebih bersedia untuk melindungi diri daripada ancaman siber.

image is not available

Selain memperkenalkan ciri baharu ini, Meta turut berkongsi hasil operasi besar-besaran bersama agensi penguatkuasaan global yang berjaya menumpaskan rangkaian penipuan di Asia Tenggara. Meta juga hadir dengan beberapa tindakan undang-undang terhadap pelbagai jenayah siber termasuk operasi perjudian dalam talian, projek pengumpulan data serta penipu yang menggunakan umpan selebriti.