
Pada masa ini, pengguna boleh berinteraksi dengan Meta AI di WhatsApp secara percuma terus melalui aplikasi dengan respon masa nyata. Namun, WhatsApp dilihat sedang membangunkan ciri baharu yang membolehkan pengguna melanggan pelan berbayar untuk menikmati lebih banyak kelebihan daripada Meta AI.

Pelan langganan ini dijangka menawarkan had penggunaan yang lebih tinggi untuk interaksi tertentu, walaupun butiran penuh masih belum diumumkan. Ia juga berkemungkinan menyokong keupayaan AI yang lebih canggih, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna.
Sebagai contoh, pelan berbayar ChatGPT menawarkan keutamaan ketika waktu puncak, konteks artikel yang lebih panjang serta model AI lebih canggih. Dengan cara yang sama, pelan berbayar Meta AI juga dijangka menyediakan manfaat seperti respons lebih pantas, akses kepada model baharu atau pilihan tambahan lebih baik pada masa hadapan.

Meskipun begitu, penting untuk ditegaskan bahawa pelan berbayar ini adalah pilihan sepenuhnya. Meta AI akan terus boleh digunakan secara percuma oleh semua pengguna kecuali bagi mereka yang mahukan kelebihan tambahan melalui langganan. Buat masa ini, pelan berbayar ini masih dalam pembangunan dan belum dipastikan bila ia akan ditawarkan kepada umum.
