
MEXICO CITY, 12 JUN: Tuan rumah bersama Piala Dunia 2026, Mexico memulakan kempen Kumpulan A dengan langkah kanan apabila menewaskan Afrika Selatan 2-0 di Stadium Azteca, pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Mexico mengutip tiga mata penuh dalam aksi pembukaan yang turut dicemari tiga kad merah melibatkan kedua-dua pasukan.
Mexico membuka jaringan pada babak pertama menerusi Julian Quinones selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Afrika Selatan, Sphephelo Sithole.
Kesilapan Sithole membolehkan Erik Lira merampas bola sebelum menghadiahkan hantaran kepada Quinones yang melepaskan rembatan padu untuk menewaskan penjaga gol lawan sekali gus menggamatkan Stadium Azteca.
Afrika Selatan berdepan cabaran lebih besar apabila Sithole dilayangkan kad merah pada minit ke-50 selepas melakukan kekasaran terhadap Brian Gutierrez, lapor Berita Harian.
Kelebihan pemain dimanfaatkan sepenuhnya Mexico apabila Raul Jimenez menggandakan jaringan pada minit ke-67 menerusi tandukan jarak dekat.
Afrika Selatan terus menerima tamparan apabila Themba Zwane pula diperintah keluar padang pada minit ke-84 selepas didapati berkelakuan ganas.
Situasi itu memaksa Afrika Selatan mengharungi baki perlawanan dengan hanya sembilan pemain di atas padang.
Mexico turut kehilangan seorang pemain apabila Cesar Montes dilayangkan kad merah pada masa kecederaan susulan kekasaran terhadap pemain lawan.
Keputusan itu meletakkan Mexico dalam kedudukan terbaik untuk meneruskan cabaran Kumpulan A menjelang pertemuan menentang Korea Selatan di Guadalajara Khamis depan.

