Sejak industri EV berkembang pesat di Malaysia, semakin banyak kereta elektrik mendapat tempat di hati pengguna. MG Malaysia yang meraikan ulang tahun ke-2 di Malaysia baru-baru ini berkongsi lebih lanjut mengenai perancangan mereka untuk pasaran tempatan. Uniknya mereka bukanlah menawarkan kereta elektrik sahaja, dan turut menawarkan kereta petrol.

Sehingga kini, MG menawarkan 2 kereta petrol dan juga 3 kereta elektrik untuk pasaran Malaysia. Permintaan terhadap kereta mereka juga agak pesat, dengan prestasi suku pertama 2026 meningkat sebanyak 57% berbanding suku keempat 2025. Malah ia didorong oleh permintaan rakyat tempatan untuk kereta yang menggunakan tenaga lestari.

Pada awal tahun ini MG Cyberster telah menerima anugerah Performance Car of the Year dari MARii, dan kilang pemasangan kereta elektrik tempatan mereka bersama EP Manufacturing Berhad di Melaka telahpun memulakan operasi dan menghasilkan kereta elektrik MGS5 CKD. Berkat dari pemasangan tempatan tersebut, harga MGS5 EV CKD yang dijual pada harga RM 116,900 merupakan harga mampu milik, yang kini turut mempunyai promosi pelancaran khas bernilai sehingga RM 9,000.
Lebih dari itu ia turut membawakan kemas kini spesifikasi, dengan kuasa sehingga 151 kW dan 350 Nm tork, serta pengecasan 150 kW membolehkan pengecasan pantas 10-80% dalam masa 26 minit. Malah satu lagi kemas kini hasil dari pemasangan tempatan adalah kerusi hadapan dengan tempat duduk dengan sistem pengudaraan, menggantikan tempat duduk dengan pemanas haba.

Meneruskan lebih lanjut dalam 2026, MG Malaysia merancang untuk menambah pusat perkhidmatan 3S di Kuantan dan Rawang. Sebagai jaminan sokongan pemilikan pengguna, sehingga kini mereka juga mempunyai 11 fasiliti badan dan cat di seluruh negara. Tidak mustahil kita akan dapat melihat lebih banyak penawaran MG di Malaysia.


![[VIDEO] Beberapa Kapal GSF Dipintas Tentera Israel, 5 Rakyat Malaysia Antara Diculik](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/05/5-rakyat-malaysia-diculik-tentera-israel-gsf-300x158.jpg)

