hamden21/07/2026 - 17:54 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Julai - MGB Berhad memperoleh kontrak bernilai RM44.67 juta bagi melaksanakan kerja-kerja mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP) serta kerja-kerja kemasan untuk 75 unit vila di Projek Pembangunan Marafy Al Arous, Fasa 1A Zon B di Arab Saudi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MGB berkata kontrak itu diterima menerusi anak syarikat milik tidak langsung penuhnya di Arab Saudi, MGB International For Industry, daripada ROSHN Group Company.
Kontrak berkenaan melibatkan pelaksanaan kerja-kerja MEP dan kemasan bagi 75 unit vila di Blok 104, 105 dan 106 di bawah Projek Pembangunan Marafy Al Arous, Fasa 1A Zon B.
Nilai kontrak tersebut ialah 41.02 juta Riyal Arab Saudi (SAR), bersamaan kira-kira RM44.67 juta berdasarkan kadar pertukaran 1 SAR = RM1.089.
Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditetapkan menerusi Notis Mula Kerja yang akan dikeluarkan oleh pihak majikan.
Tempoh pelaksanaan projek ialah 300 hari kalendar, atau kira-kira 10 bulan, bermula dari tarikh permulaan kerja.
MGB berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan, selain mengukuhkan buku pesanannya.
Katanya, projek tersebut turut menjadi satu lagi langkah strategik dalam memperluaskan kehadiran perniagaan pembinaan kumpulan di Arab Saudi, sejajar dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang.
"Kontrak ini tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, aset bersih sesaham serta prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya," katanya. - DagangNews.com






