MHB menang injuksi kes tuntutan Haumea Offshore bernilai RM57.3 juta

LocalBusiness & Finance
22 May 2025 • 2:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MHB menang injuksi kes tuntutan Haumea Offshore bernilai RM57.3 juta

image is not available

22/05/2025 - 14:25

Gambar/Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Mei - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB), berjaya mendapatkan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk menyekat notis timbang tara oleh subkontraktornya, Haumea Offshore Sdn Bhd, berhubung pertikaian dalam projek pembangunan semula Bokor Fasa 3 di Sarawak.

MHB berkata, anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), memperoleh injunksi secara sebelah pihak yang melarang Haumea Offshore memulakan sebarang prosiding timbang tara berkaitan notis tersebut.

"Syarikat juga akan terus meneroka semua pilihan undang-undang termasuk mencabar kesahihan notis timbang tara berkenaan dan mengambil tindakan lanjut bagi melindungi kepentingan kami," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Menurut MHB, Haumea Offshore yang sebelum ini dikenali sebagai Trans Fame Offshore Sdn Bhd, dalam notis timbang tara pada 21 April lalu menuntut RM57.3 juta daripada MMHE, termasuk faedah dan kos guaman.

Tuntutan itu berpunca daripada isu pelaksanaan skop kerja subkontrak untuk projek Bokor Fasa 3.

Haumea Offshore dilantik MMHE untuk menjalankan kerja-kerja penyambungan dan pentauliahan, termasuk penyediaan kapal laut bagi Pakej A dalam projek Bokor Fasa 3.

Nilai dan tarikh penganugerahan subkontrak tersebut bagaimanapun tidak didedahkan.

Kontrak pembinaan pelantar pemprosesan utama Bokor Fasa 3 bernilai RM1 bilion dianugerahkan kepada MMHE oleh Petronas Carigali Sdn Bhd pada April 2017. - DagangNews.com

standard