Segmen hotel Sunway REIT diyakini pulih secara berperingkat didorong pertambahan peruntukan kerajaan dalam sektor pelancongan - Kenanga

18/08/2025 - 14:23
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Segmen hotel Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) diyakini pulih secara berperingkat, didorong pertambahan peruntukan kerajaan bagi merancakkan sektor pelancongan tempatan, kata Kenanga Research.
Katanya, segmen hospitaliti Sunway REIT mencatatkan penurunan sebanyak 17% pada 1HFY25 akibat aktiviti MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) yang berkurangan semasa musim Tahun Baharu Cina dan Ramadan, serta kadar penghunian keseluruhan yang sedikit menurun kepada 60% daripada 62% tahun sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu melaporkan peningkatan dalam tempahan bilik bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25), menandakan permulaan kepada pemulihan yang dijangkakan.
Ia sejajar dengan inisiatif kerajaan meningkatkan pelancongan domestik dan antarabangsa, termasuk promosi aktif pelancongan serta penganjuran acara berskala besar di seluruh negara.
“Walaupun segmen hotel hanya merangkumi kurang 15% daripada pendapatan hartanah bersih (NPI) kumpulan, kami menjangkakan ia akan menyumbang secara beransur-ansur kepada pertumbuhan hasil kumpulan dalam jangka sederhana,” katanya dalam satu nota kajian.
Pada masa sama, Kenanga Research berkata, prestasi keseluruhan Sunway REIT kekal kukuh, terutamanya dalam portfolio runcitnya yang menyumbang kira-kira 70% daripada NPI, disokong kemasukan hasil daripada aset baharu seperti Sunway 163 Mall, enam pasar raya besar baharu, dan sayap baharu Oasis di Sunway Pyramid.
Katanya, pemulihan progresif di Sunway Carnival Mall juga dijangka mengukuhkan lagi pendapatan kumpulan.
Firma penyelidikan itu berkata, Sunway REIT turut berhati-hati terhadap cabaran jangka pendek termasuk cukai SST 8% ke atas kadar sewaan yang boleh memberi kesan ke atas penyesuaian sewaan dalam masa terdekat.
"Hubungan kukunnya dengan Sunway Group serta reputasi jenama turut dilihat sebagai pemacu nilai jangka panjang kepada pelabur.
"Dengan prospek pelancongan semakin pulih dan kekuatan portfolio hartanah di kawasan bandar, kami mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.11 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard

