Mid Valley City diyakini terus jadi pemacu utama pertumbuhan IGB Commercial REIT, kata RHB Research

13/08/2025 - 11:31
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Mid Valley City diyakini akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan IGB Commercial REIT disokong kadar penyewaan yang kukuh dan disokong profil berkualiti tinggi, kata RHB Research.
Katanya, portfolio kumpulan itu di Mid Valley City meningkatkan daya tarikan kawasan menerusi kemudahan serba lengkap serta perkhidmatan bernilai tambah.
Firma penyelidikan itu berkata, ia diterjemahkan kepada kadar penghunian kukuh sebanyak 93.5% setakat akhir 2024, jauh melebihi purata 72% bagi pejabat yang dibina khas di Kuala Lumpur.
"Walaupun aset di Kuala Lumpur mencatatkan kadar penghunian yang lebih sederhana pada 78%, kami melihat potensi penambahbaikan apabila usaha pengubahsuaian yang sedang dijalankan bakal meningkatkan kualiti daya tarikan hartanah-hartanah tersebut.
"Setakat Jun 2025, IGB Commercial REIT mengekalkan nisbah penggearan yang sihat sebanyak 27% yang memberikan ruang hutang sebanyak RM1.5 bilion sebelum mencapai had 50%," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research, menjangkakan pertumbuhan pendapatan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 14.5% bagi FY24 hingga FY27, disokong peningkatan kadar penghunian, kecekapan operasi, dan penjimatan kos faedah.
Katanya, mereka percaya hasil semasa sebanyak 7.8% adalah menarik, terutamanya memandangkan IGB Commercial REIT secara konsisten mengekalkan kadar penghunian yang lebih tinggi walaupun berdepan cabaran dalam pasaran pejabat secara keseluruhan.
"Kami berpandangan, hasil yang agak tinggi ini menawarkan pilihan yang menarik bagi pelabur yang mencari pendapatan stabil dan defensif, terutamanya jika dibandingkan dengan REIT runcit dan industri yang biasanya menawarkan hasil sekitar 5% hingga 6%," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, IGB Commercial REIT disokong pasukan pengurusan berpengalaman yang turut mengendalikan IGB REIT, dan mempunyai rekod pencapaian yang kukuh dalam menjana pertumbuhan organik yang mampan bagi aset utama.
"Ini mencerminkan keupayaan pasukan tersebut dalam secara konsisten menangkap permintaan pasaran.
"REIT ini juga mendapat manfaat daripada hak keutamaan pertama (ROFR) daripada penajanya bagi pengambilalihan hartanah komersial, sekali gus menyokong potensi pertumbuhan tidak organik pada masa hadapan," katanya
RHB Research memulakan liputan ke atas IGB Commercial REIT dengan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) 72 sen sesaham.- DagangNews.com
standard

