
PETALING JAYA: Tradisi emas keluarga Ghazali di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) akhirnya lengkap apabila Emylia Lynn Ghazali Zulfikar atau lebih mesra disapa Mia menambah satu lagi koleksi kejuaraan selepas menjuarai acara muay thai wanita kategori 42-45 kilogram (kg) pada SUKMA Selangor 2026, hari ini.
Mewakili Sarawak, Mia terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi wakil Johor, Damia Husna Azian dengan kemenangan tipis 34-33 dalam pertarungan yang hanya dipisahkan satu mata.
Kedua-dua petarung saling melancarkan serangan sepanjang perlawanan, namun Mia lebih tenang pada detik penting untuk mengekalkan kelebihan sehingga kemenangan akhirnya menjadi miliknya.
Kejayaan itu menjadikan Mia pelengkap kepada pencapaian empat beradik keluarga Ghazali apabila Elias Ghazali Zulfikar dan Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih mesra disapa Jojo terlebih dahulu meraih emas pada SUKMA 2022, sebelum Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar atau dikenali sebagai Miki meneruskan rentak berkenaan pada edisi 2024.
Kini, keempat-empat adik-beradik itu mempunyai koleksi emas SUKMA masing-masing dalam sukan muay thai, sekali gus mencipta pencapaian istimewa yang jarang dapat dilakukan sebuah keluarga di pentas temasya berkenaan.
Lebih bermakna buat Mia, perjuangannya di gelanggang turut disaksikan dan dibantu dua abangnya sendiri apabila Jojo dan Miki berada di sudut gelanggang sebagai cornerman sepanjang kesemua pertarungannya. – UTUSAN
The post Mia sempurnakan legasi emas keluarga Ghazali appeared first on Utusan Malaysia.






