Michelin 12 Hours of Malaysia Buka Tirai Musim 2026 buat pasukan Viper Niza Racing

25 Nov 2025 • 8:48 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Viper Niza Racing Team bakal memulakan kempen perlumbaan endurance antarabangsa 2026 dengan penuh keyakinan apabila Michelin 12 Hours of Malaysia berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 5 hingga 6 Disember 2025. Perlumbaan ini bukan sahaja menandakan kemunculan pertama siri berprestij itu di Asia Tenggara, malah menjadi medan terbaik buat pasukan Malaysia tersebut memburu podium berganda di laman sendiri.

image is not available

Walaupun kali pertama Kejuaraan Creventic Series hadir ke Sepang, Viper Niza sudah mempunyai rekod manis di litar berkenaan. Pada Mac lalu, trio Douglas Khoo, Dominic Ang, dan Melvin Moh menamatkan Motul 12 Hours of Sepang dengan kemenangan kategori GT AM Masters serta tempat kedua kategori GT AM. Ia mengulangi kejayaan serupa yang dicatat pasukan ini pada tahun 2024.

image is not available

Menurut Khoo, yang juga Prinsipal Pasukan, kelebihan sebagai pasukan tuan rumah memang memberi motivasi tambahan namun perlumbaan endurance tetap sarat cabaran.

“Kita datang ke setiap perlumbaan dengan persediaan rapi dan semangat tinggi. Tetapi dalam endurance, tiada apa yang boleh dijangka. Jika berjaya naik podium sekali lagi di Sepang, itu cara terbaik menutup 2025 dan membuka musim 2026,” jelas beliau.

image is not available

Selepas pusingan Malaysia, Siri Middle East akan bergerak ke Michelin 6H Abu Dhabi (9–10 Januari) dan Michelin 24H Dubai (16–18 Januari).
Walaupun penyertaan penuh masih dalam pertimbangan, Viper Niza Racing Team sudah komited untuk kembali dalam musim penuh European Series 2026.

image is not available

Musim tersebut bermula dari 20–22 Mac di Michelin 12H Mugello, Itali sebelum ke Spa-Francorchamps, Paul Ricard, Nürburgring dan Barcelona.

Dalam musim debut penuh mereka tahun ini, Viper Niza menamatkan kempen ke-4 keseluruhan dalam kategori GT3-AM, meskipun terlepas satu pusingan dan bersara dalam satu perlumbaan. Mereka juga mencatat keputusan konsisten di Spa, Paul Ricard dan Barcelona.

Douglas Khoo yakin mereka kini mempunyai pakej yang lebih kukuh:

“Sasaran kami adalah menamatkan musim 2026 dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan. Sepang adalah peluang terakhir untuk ‘shakedown’ Mercedes-AMG GT3 EVO sebelum Mugello.”

Viper Niza Racing terus mendapat sokongan penuh daripada Motul, Endless, Momentum Autoparts, serta IWC sebagai Rakan Jam Rasmi, dan Jen Orchard Gateway Hotel Singapore.

The post Michelin 12 Hours of Malaysia Buka Tirai Musim 2026 buat pasukan Viper Niza Racing appeared first on TW Media.