microLEAP catat lonjakan 139% dalam pembiayaan PMKS selaras perkembangan pasaran P2P

24/07/2025 - 18:18
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 24 Julai - Sektor pembiayaan rakan setara (P2P) di Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh pada tahun 2024, dengan 4,464 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima sokongan, peningkatan sebanyak 24% berbanding tahun sebelumnya, menurut Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF).
Walaupun sumbangan MyCIF terhadap jumlah pembiayaan P2P menurun daripada 13% pada 2023 kepada 10% pada 2024, pelabur swasta telah mengisi jurang tersebut.
Sejak penubuhannya, MyCIF telah menyalurkan lebih RM1.1 bilion ke dalam kempen P2P, membantu menangani anggaran jurang pembiayaan PMKS sebanyak RM90 bilion.
microLEAP, sebuah platform P2P berlesen yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti, telah mengagihkan RM55 juta menerusi 70 nota pelaburan pada suku kedua 2025, mencatat peningkatan sebanyak 139% tahun ke tahun. Daripada jumlah itu, 69 nota adalah patuh syariah sepenuhnya.
Platform tersebut melaporkan purata pulangan kasar pelabur sebanyak 16.8% setahun dan mengekalkan kadar kegagalan bayaran hanya 0.40%, jauh lebih rendah daripada purata pasaran iaitu 4.18%.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, bagi meningkatkan akses kepada modal di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, microLEAP telah membuka pejabat baharu di Kelantan dan Johor Utara, selaras dengan pelan hala tuju Suruhanjaya Sekuriti untuk menggalakkan penyertaan PMKS dalam pasaran modal.
Beliau berkata, syarikat itu juga sedang berkembang ke peringkat serantau di Indonesia dan Filipina untuk menawarkan penyelesaian patuh syariah dan menarik pelabur institusi Islam.
“Menjelang separuh kedua tahun 2025, microLEAP akan meneruskan strategi pertumbuhan serantau, memperluaskan rangkaian produknya dan memperkukuh keupayaan pelabur, sambil terus memberi tumpuan kepada pembiayaan yang beretika dan berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Model P2P Malaysia kini semakin dilihat sebagai penanda aras serantau untuk pertumbuhan yang bertanggungjawab disokong kawal selia yang berstruktur, rangka kerja Islam dan konvensional yang seimbang serta kadar gagal bayar yang lebih rendah.
Negara jiran seperti Indonesia dan Thailand masih menghadapi kadar gagal bayar yang lebih tinggi serta penyertaan institusi yang terhad.
Memandangkan pinjaman bank kekal berhati-hati dan jurang modal kerja dalam kalangan PKS masih wujud, platform P2P seperti microLEAP semakin menjadi komponen penting dalam infrastruktur kewangan negara.- DagangNews.com
standard


