Di internet anda pasti melihat ramai mengatakan penggunaan kecerdasan buatan (AI) adalah tidak bermoral kerana ia dilatih menggunakan data yang dicuri daripada pemegang harta intelek tanpa pampasan. Ini adalah sebab mengapa beberapa syarikat AI telah disaman dengan bayaran pampasan mencecah ratusan juta.
Pagi ini Microsoft mengumumkan 7 model AI terbaru mereka yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan data yang dilesenkan. Kesemua model MAI ini mempunyai kemampuan khusus seperti penaakulan, menjana gambar, menjana audio dan melakukan pengaturcaraan.

MAI-Thinking-1 ialah model paling berkuasa dengan 35 bilion parameter dengan ia juga adalah mode penaakulan pertama Microsoft. Ia boleh melakukan tugasan matematik, penyelesaian masalah dan mengawal ejen-ejen AI. Dalam ujian penanda aras SWE Bench Pro, kemampuanya lebih baik berbanding Claude Opus 4.6.
Seterusnya MAI-Image-2.5 dilatih sepenuhnya daripada bawah tanpa menggunakan teknik penyulingan (distillation) model-model AI lain. Teknik ini menjadi kontroversi kerana OpenAI mengatakan ia adalah seperti mencuri dengan ia dilakukan oleh syarikat China dan diakui oleh Elon Musk dilakukan juga oleh xAI.
Kerana dilatih menggunakan data yang telah dilesenkan secara komersial, pelanggan MAI-Image-2.5 tidak perlu risau disaman di masa hadapan imej janaan yang digunakan boleh menyebabkan mereka disaman. MAI-Image-2.5 Flash pula ialah model lebih pantas menjana gambar daripada teks serta suntingan gambar dengan prestasinya lebih baik berbanding Nano Banana Pro.
MAI-Code-1-Flash pula ialah model pengarturcaraan 5 bilion parameter yang cekap dalam melakukan inferens. Model ini direka khas dan disepadukan secara mendalam ke dalam GitHub Copilot, VS Code dan pelbagai alat Microsoft.
Seterusnya MAI Transcribe-1.5 ialah model transkripsi audio yang terbaik di dunia menurut Microsoft dengan sokongan 43 bahasa utama. MAI-Voice-2 pula boleh menjana audio perbualan berkualiti tinggi dalam 15 bahasa berdasarkan sampel audio pendek. Akhir sekali MAI-Voice-2-Flash yang akan dilancarkan kelak ialah model yang lebih cekap dengan kos penggunaan lebih rendah.
Dengan 7 model MAI terkini, Microsoft AI kini mengembangkan sayap mereka sendiri tanpa perlu lagi bergantung kepada kepakaran OpenAI. Lebih penting sekali ialah Microsoft kini mempunyai keluarga model AI yang tidak lagi terpalit dengan isu dibangunkan dengan data yang dicuri.





