Jika anda seorang gamer, fungsi Windows Game Bar pastinya bukanlah sesuatu yang baru untuk anda. Ciri ini boleh dimanfaatkan untuk mengakses sejumlah ciri-ciri terpendam dengan mudah, seperti tangkapan layar, rakaman skrin, paparan prestasi komputer dan sebagainya.
Satu isu yang membelenggu penggunaan Windows Game Bar pada peranti konsol PC mudah-alih ialah antaramukanya yang tidak begitu mesra paparan skrin kecil. Oleh kerana itu, Microsoft, melalui Xbox telah membuat pengumuman bahawa mereka akan memperkenalkan mod baru yang dinamakan Compact Mode untuk konsol-konsol PC ini.

Compact Mode untuk Windows Game Bar akan membolehkan pengguna untuk bukan sahaja mengakses ciri-ciri yang saya katakan sebentar tadi, tetapi juga membolehkan pengguna untuk menukar permainan dengan cepat dan mudah melalui penyenaraian permainan-permainan yang dimuatkan pada konsol tersebut.
Bersama-sama dengan mod ini, Microsoft juga memperkenalkan widget yang boleh dipasang untuk mengakses ciri-ciri berbeza dengan mudah. Widget Home membolehkan anda mengakses permainan-permainan dengan cepat, manakala widget Resource membolehkan anda mengoptimasi prestasi komputer dengan mudah.

Untuk mengakses Windows Game Bar pada konsol mudah-alih anda, anda boleh menetapkan satu butang sebagai pintasan untuk Win+G, ataupun membuat carian Game Bar dan pin ikon tersebut pada desktop ataupun taskbar.
Buat masa ini, Compact Mode hanya ditawarkan melalui program Xbox Insider, dan akan diperkenalkan secara rasmi di masa hadapan.

![“Cinta Sampai Syurga” – Lelaki Dijemput Ilahi Selepas 2 Minggu Isteri Meninggal Dunia Ketika Bersalin [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)