Microsoft sangat serius dalam integrasi teknologi kecerdasan buatan generatif terus ke dalam sistem operasi peranti. Terbaru, aplikasi album dalam Windows 11 iaitu Microsoft Photos telah dikemaskini dengan ciri AI baharu untuk meningkatkan resolusi dan saiz imej.

Kebiasaannya, di Amanz kami akan menggunakan Photoshop atau beberapa perkhidmatan Image Upscaler di atas talian. Dengan Microsoft Photos baharu ini, ciri Super resolution menggunakan NPU dan memproses dari dalam peranti untuk menjadikan imej tidak berkualiti nampak cantik. Contoh yang diberikan adalah saiz imej 750 x 501 kepada 4500 x 3006 dengan peningkatan di tahap 6. Microsoft Photos menyokong sehingga tahap 8.
Pada masa yang sama, Microsoft Photos turut menerima ciri yang sama ada pada Phone Link dan Snipping Tools iaitu sistem kini boleh mengesan teks untuk disalin dan ditampal serta mengimbas kod QR. Buat masa ini, kedua-dua ciri baharu ini terhad kepada pengguna laptop Copilot+ PC sahaja melalui program Windows Insider.

