
PETALING JAYA – Ingatkan mesyuarat ditangguhkan gara-gara perkhidmatan Microsoft 365 tergendala pada hari ini, rupa-rupanya sesi tersebut tetap diteruskan menggunakan platform lain seperti Zoom atau Google Meet.
Situasi tersebut dihadapi segelintir pekerja yang pada mulanya, mereka berharap mesyuarat di tempat kerja masing-masing dapat ditangguhkan, namun terpaksa akur apabila ia tetap berlangsung seperti biasa.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, mereka mengakui perkhidmatan Microsoft yang tergendala menjejaskan kelancaran urusan kerja, tetapi dalam masa sama turut gembira apabila mesyuarat bersama ketua masing-masing mungkin ditangguhkan ke hari lain.
Bagaimanapun, nikmat tersebut hanya sementara apabila mesyuarat dan sesi perbincangan berkaitan hal ehwal kerja tetap diteruskan menggunakan platform lain.
“Microsoft down (tergendala) dia boleh pi tibai meeting (mesyuarat) WhatsApp group call (panggilan telefon di dalam kumpulan WhatsApp),” kata seorang pengguna Threads Shaeyful secara berseloroh.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas pengguna Threads lain yang turut berdepan pengalaman sama apabila perlu menghadiri mesyurat secara dalam talian menggunakan platform selain Microsoft.
“Bos saya guna Zoom bang,” kata Ahiq.21.
“Ada je eh ‘celah’ bos cari hahaha,” kata Kajimsharibi.
“Masalah moden memerlukan penyelesaian moden bang,” kata Azhnhris.
“Betul, tak boleh lari la ek,” kata Nurhudamaisarah.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, perkhidmatan Microsoft 365 dilaporkan mengalami gangguan, menyebabkan ramai pengguna tidak dapat membuka e-mel Outlook, sekali gus menjejaskan urusan kerja mereka pada pagi ini.
Tinjauan di media sosial Threads dan X mendapati, ramai pengguna perkhidmatan Microsoft 365 di negara ini meluahkan turut berdepan masalah tersebut yang menyebabkan pelbagai urusan turut tergendala.
Terdahulu, Microsoft memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan Microsoft 365 di beberapa rantau berpunca daripada sejumlah pelayan yang tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba, bukan peningkatan trafik pengguna.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Microsoft 365 Status dalam kemas kini terbaharu menerusi platform X memaklumkan bahawa gangguan itu menyebabkan beban tambahan kepada infrastruktur yang masih beroperasi.
Gangguan itu menjejaskan akses kepada peti mel Exchange Online dan berkemungkinan perkhidmatan Microsoft 365 yang lain, dengan pengguna melaporkan masalah sambungan menerusi pelbagai kaedah akses. – KOSMO! ONLINE
The post Microsoft tergendala, bos tetap buat ‘meeting’ guna Zoom, Google Meet appeared first on Kosmo Online.


