Mid Valley Southkey di Johor mula diiktiraf dalam hasil IGB REIT, catat kenaikan 50.9%

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 5:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mid Valley Southkey di Johor mula diiktiraf dalam hasil IGB REIT, catat kenaikan 50.9% Image from: Mid Valley Southkey di Johor mula diiktiraf dalam hasil IGB REIT, catat kenaikan 50.9% liza30/10/2026 - 17:46 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 50.9% kepada RM249.34 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), berbanding RM165.20 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh sumbangan pendapatan dan keuntungan daripada The Mall, Mid Valley Southkey (MVS Mall), selain pendapatan sewaan lebih tinggi yang dijana Mid Valley Megamall (MVM) dan The Gardens Mall (TGM).

 

Seiring pertumbuhan hasil, pendapatan hartanah bersih (NPI) kumpulan meningkat 48.3% kepada RM185.25 juta berbanding RM124.91 juta pada 3QFY2025.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan selepas cukai turut meningkat 50.8% kepada RM144.15 juta daripada RM95.62 juta sebelumnya.

 

Mid Valley Southkey sumbang RM78.75 juta kepada hasil

Mengikut pecahan prestasi pusat beli-belah, MVS Mall menyumbang hasil sebanyak RM78.75 juta dan NPI RM61.96 juta sepanjang suku berkenaan.

 

Sementara itu, MVM merekodkan peningkatan hasil sebanyak 2.4% kepada RM116.86 juta, manakala NPI meningkat 0.5% kepada RM89.87 juta. TGM pula mencatatkan pertumbuhan hasil 5.2% kepada RM53.72 juta, meskipun NPI susut 5.8% kepada RM33.42 juta berbanding suku sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama 2026, hasil IGB REIT meningkat 51.3% kepada RM751.63 juta berbanding RM496.73 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

NPI bagi tempoh itu turut meningkat 51.7% kepada RM573.43 juta, manakala keuntungan selepas cukai bertambah 51.4% kepada RM446.24 juta.

 

Agihan pendapatan meningkat kepada 3.51 sen seunit

Dalam perkembangan berkaitan, pengurus IGB REIT meluluskan agihan sebanyak RM152.15 juta atau 3.51 sen seunit bagi suku ketiga 2026, bersamaan 97.5% daripada jumlah pendapatan boleh agih.

 

Agihan itu lebih tinggi berbanding 2.77 sen seunit atau RM100.45 juta yang dibayar bagi suku ketiga 2025.

 

Pembayaran agihan terbaharu itu dijadualkan pada 30 November 2026 kepada pemegang unit yang layak pada 16 November 2026.

 

Fokus kekalkan permintaan penyewa

Mengulas prospek, IGB REIT menjangkakan sektor peruncitan Malaysia mengekalkan pertumbuhan sederhana bagi baki 2026, disokong perbelanjaan domestik, sektor pelancongan dan langkah kerajaan membantu perbelanjaan isi rumah.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mengambil kira beberapa cabaran termasuk pengguna yang semakin berhati-hati dalam perbelanjaan, peningkatan kos operasi, persaingan peruncitan serta ketidaktentuan ekonomi global.

 

IGB REIT berkata, ketiga-tiga pusat beli-belah utamanya terus menunjukkan daya tahan menerusi kadar penghunian tinggi, peningkatan kadar sewa semasa pembaharuan pajakan serta permintaan penyewa yang baik.

 

Kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan penyewa secara aktif, mengoptimumkan campuran penyewa, melaksanakan inisiatif penambahbaikan aset serta mengurus kos secara berhemat bagi memastikan daya saing pusat beli-belahnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved