UUE catat hasil suku tahunan tertinggi RM75 juta disokong permintaan tinggi utiliti bawah tanah di Malaysia, Singapura

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 5:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UUE catat hasil suku tahunan tertinggi RM75 juta disokong permintaan tinggi utiliti bawah tanah di Malaysia, Singapura Image from: UUE catat hasil suku tahunan tertinggi RM75 juta disokong permintaan tinggi utiliti bawah tanah di Malaysia, Singapura liza27/10/2026 - 17:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - UUE Holdings Berhad mencatat hasil suku tahunan tertinggi sebanyak RM75 juta bagi suku kedua berakhir 31 Ogos 2026, meningkat 30% berbanding RM57.67 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya disokong pertumbuhan perniagaan kejuruteraan utiliti bawah tanah di Malaysia dan Singapura.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah itu turut merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai 72.7% kepada RM14.75 juta berbanding RM8.54 juta manakala keuntungan selepas cukai naik 72.6% kepada RM11.04 juta daripada RM6.4 juta sebelumnya.

 

“UUE berkata prestasi itu meneruskan rekod hasil dan keuntungan selepas cukai tertinggi bagi suku kedua berturut-turut, disokong peningkatan hasil operasi Singapura serta campuran projek yang memberikan margin keuntungan lebih baik.

 

“Margin keuntungan sebelum cukai kumpulan turut meningkat kepada 19.7% berbanding 14.8% setahun lalu,” katanya.

 

Hasil Singapura meningkat hampir lima kali ganda

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2027, hasil kumpulan meningkat 51.2% kepada RM136.19 juta berbanding RM90.08 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai melonjak 135.4% kepada RM26.33 juta daripada RM11.19 juta, manakala keuntungan selepas cukai meningkat 148.3% kepada RM20.09 juta berbanding RM8.09 juta sebelumnya.

 

Prestasi itu disokong pertumbuhan hasil Singapura yang meningkat hampir lima kali ganda kepada RM30.14 juta daripada RM6.19 juta, manakala Malaysia kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM106.04 juta, merangkumi 77.9% daripada jumlah hasil kumpulan.

 

Bagi suku kedua sahaja, hasil daripada Singapura meningkat kepada RM20.24 juta berbanding RM5.11 juta setahun lalu, manakala hasil Malaysia naik 4.2% kepada RM54.76 juta daripada RM52.56 juta.

 

Menurut UUE, peningkatan operasi Singapura turut disokong peluasan kapasiti operasi secara berperingkat serta margin keuntungan yang lebih baik daripada projek yang dilaksanakan di pasaran itu.

 

Buku tempahan RM512 juta sokong prospek pendapatan

UUE memperoleh kontrak baharu bernilai kira-kira RM133.1 juta sepanjang tahun kewangan semasa sehingga tarikh laporan, sekali gus menyumbang kepada buku tempahan kumpulan berjumlah kira-kira RM512 juta di Malaysia dan Singapura.

 

Menurut syarikat, buku tempahan itu memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 36 bulan dan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan akan datang apabila projek dilaksanakan.

 

Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, pembangunan infrastruktur grid elektrik di Malaysia serta aktiviti pembinaan sektor awam dan swasta di Singapura dijangka terus menyokong permintaan terhadap perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah.

 

Beliau berkata kepakaran kumpulan dalam penggerudian arah mendatar (horizontal directional drilling atau HDD) meletakkan UUE pada kedudukan untuk menyokong pemasangan awal utiliti serta kerja sambungan akhir bagi infrastruktur grid elektrik dan telekomunikasi.

 

Bagaimanapun, aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi UUE mencatat aliran keluar RM10.86 juta bagi enam bulan berakhir 31 Ogos 2026 berbanding aliran masuk RM4.10 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keadaan itu berlaku walaupun kumpulan merekodkan keuntungan lebih tinggi, dengan penyata aliran tunai menunjukkan perubahan dalam inventori, aset dan liabiliti kontrak serta penghutang perdagangan mempengaruhi aliran tunai operasi.

 

Pada masa sama, jumlah pinjaman dan liabiliti pajakan meningkat kepada RM84.46 juta setakat 31 Ogos 2026 berbanding RM53.78 juta pada 28 Februari 2026.

 

Tunai dan baki bank kumpulan berjumlah RM17.71 juta pada akhir tempoh laporan, termasuk deposit tetap RM8.71 juta yang dicagarkan kepada bank. UUE tidak mengumumkan dividen bagi suku kedua tahun kewangan 2027 yang dikaji. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved