MIFB 2023 sasar jana perjanjian perdagangan bernilai RM1.4 bilion
zulfadli
12/07/2023 - 15:47
KUALA LUMPUR 12 Julai - Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia 2023 (MIFB 2023) selama tiga hari, yang bermula di sini hari ini, diunjurkan menjana perjanjian perdagangan bernilai kira-kira AS$300 juta (RM1.4 bilion) pada edisi ke-22 yang diadakan mulai hari ini.
Ketua Eksekutif Kumpulan Constellar Exhibitions Malaysia Sdn Bhd, Chua Wee Phong berkata, keyakinan untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi berbanding AS$250 juta yang diunjurkan pada acara tahun lepas, berdasarkan minat yang ketara daripada pempamer.
Pameran itu menampilkan lebih 430 pempamer dari 60 negara, menduduki sejumlah 12,000 meter persegi ruang lantai pameran. Jumlah pempamer ini kira-kira dua kali ganda daripada tahun lepas.
"Pada tahun lepas, pameran itu hanya menduduki dua dewan, iaitu kira-kira separuh daripada saiz biasa kami. Ternyata, kami kembali kepada paras sebelum pandemik iaitu menduduki lima dewan," katanya kepada pemberita pada pelancaran MIFB 2023 di sini hari ini.
Chua berkata, pameran itu akan turut memanfaatkan Jerayawara Ekspo China-ASEAN 2023 (CAEXPO) ke-20 (Malaysia) dan Pameran Eksport Guangxi, yang terletak di tempat yang sama (Kuala Lumpur Convention Centre), sekali gus menghimpunkan pemain utama dari ASEAN dan China dalam satu platform.
"Kerjasama ini mewujudkan peluang yang lebih besar untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua wilayah dan menjadi pemangkin untuk memudahkan pertumbuhan perniagaan dan pertukaran pengetahuan," katanya.
MIFB 2023 dijangka menarik 20,000 pengunjung perdagangan, lapor Bernama.

Chua berkata, MIFB pada tahun depan akan merangkumi pemain pengeluaran, pembungkusan dan logistik untuk mengukuhkan lagi penawarannya dan melengkapkan rantaian bekalan makanan.
"Tahun depan, kami akan kembali dengan saiz yang lebih besar. Kami menyasarkan untuk menduduki lapan dewan, justeru pameran pada 2024 akan menjadi amat berbeza disebabkan konsep perluasan," katanya. - DagangNews.com
