MIHAS: Jualan cecah RM5.5 bilion, bantu produk tempatan tembusi pasaran global

LocalBusiness & Finance
26 Sep 2026 • 5:56 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MIHAS: Jualan cecah RM5.5 bilion, bantu produk tempatan tembusi pasaran global

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 merekodkan nilai jualan RM5.5 bilion pada hari terakhir penganjurannya hari ini, sekali gus melepasi sasaran RM5 bilion yang ditetapkan sebelum ini, maklum pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata pencapaian itu menunjukkan MIHAS bukan sekadar platform pameran, sebaliknya membuka peluang kepada pemain industri memperluas pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

Image from: MIHAS: Jualan cecah RM5.5 bilion, bantu produk tempatan tembusi pasaran global
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap kepada media selepas majlis penyampaian Anugerah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 di Mitec, Kuala Lumpur pada 26 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Setakat semalam penjualan mencatat RM5.1 bilion, cuma setakat ini, jualan sudah mencatat RM5.5 bilion,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah MIHAS 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Menurutnya, peningkatan nilai jualan daripada RM5.1 bilion pada hari ketiga kepada RM5.5 bilion pada hari terakhir membuktikan peluang pasaran yang tersedia menerusi MIHAS.

“Kita mengharapkan MIHAS bukan sahaja sebagai pameran tetapi tempat untuk mengambil peluang, khususnya dalam membuka ruang dan pasaran lebih luas kepada pemain industri,” katanya.

Image from: MIHAS: Jualan cecah RM5.5 bilion, bantu produk tempatan tembusi pasaran global
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican bersama penerima Anugerah sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 di Mitec, Kuala Lumpur pada 26 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

MATRADE sebelum ini menetapkan sasaran nilai potensi melebihi RM5 bilion menerusi MIHAS 2026, selain membuka peluang lebih luas kepada produk halal tempatan menembusi pasaran global.

Dalam perkembangan sama, Reezal berkata MIHAS Awards menjadi platform mengiktiraf pemain industri yang menunjukkan kecemerlangan dalam penghasilan produk.

Antara penerima MIHAS Awards 2026 ialah HYGR Sdn Bhd dan Abin Manufacturing Sdn Bhd bagi Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan Produk/Perkhidmatan.

Beliau berkata MATRADE merancang menambah dua atau tiga kategori anugerah pada tahun depan dengan tumpuan lebih besar terhadap penyertaan pemain industri dari luar negara.

Pada masa sama, MATRADE akan meneruskan usaha mengantarabangsakan MIHAS menerusi siri jelajah ketiga program berkenaan tahun depan.

Image from: MIHAS: Jualan cecah RM5.5 bilion, bantu produk tempatan tembusi pasaran global
Pengunjung menghadiri Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 di Mitec, Kuala Lumpur pada 26 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Selain pameran dan padanan perniagaan, MIHAS 2026 turut menyediakan inisiatif pemerkasaan perusahaan halal menerusi Hab Pengetahuan MATRADE dan Women in Export.

Hab Pengetahuan MATRADE menampilkan peneraju industri daripada DHL Express Malaysia, UOB Malaysia dan Farm Fresh Malaysia, manakala Women in Export mengetengahkan 80 reruai yang diterajui wanita.

Sejak penubuhannya pada 2004, MIHAS menjana lebih RM35 bilion jualan eksport dan menarik lebih setengah juta pengunjung perniagaan dari seluruh dunia.

Image from: MIHAS: Jualan cecah RM5.5 bilion, bantu produk tempatan tembusi pasaran global
Pengunjung menghadiri Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 di Mitec, Kuala Lumpur pada 26 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved