Jualan EcoWorld cecah RM5 bilion buat kali pertama, lepasi sasaran FY26

24 Sep 2026 • 2:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan EcoWorld cecah RM5 bilion buat kali pertama, lepasi sasaran FY26 Image from: Jualan EcoWorld cecah RM5 bilion buat kali pertama, lepasi sasaran FY26 liza24/09/2026 - 14:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – Eco World Development Group Bhd telah melepasi sasaran jualan RM4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2026 (FY2026) lebih awal dengan jumlah jualan mencapai RM4.05 bilion setakat 31 Ogos 2026.

 

Pencapaian itu dijangka membawa EcoWorld ke arah rekod jualan dan keuntungan bagi FY2026, selepas kumpulan turut memeterai perjanjian bernilai RM1.01 bilion dengan Tera Data Centers (Malaysia) Sdn Bhd pada 22 September 2026.

 

Dengan mengambil kira perjanjian tersebut, jualan terkumpul EcoWorld kini melebihi RM5 bilion buat kali pertama mencerminkan momentum jualan yang terus berkembang menjelang akhir tahun kewangan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Seri Chang Khim Wah berkata pencapaian jualan dan prestasi terkini kumpulan meletakkan EcoWorld pada landasan untuk mencatat rekod jualan serta keuntungan bagi FY2026.

 

Katanya, prestasi itu turut disokong oleh pelbagai sumber pendapatan yang dijangka menjadi asas kepada prestasi kumpulan pada tahun-tahun akan datang.

 

Jualan kediaman terus jadi penyumbang utama

Bagi tempoh sembilan bulan FY2026, keuntungan bersih EcoWorld meningkat 27.74% kepada RM397.71 juta berbanding RM311.35 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil pula meningkat 43.25% kepada RM3.12 bilion daripada RM2.18 bilion, terutama disebabkan peningkatan jualan yang telah ditempah.

 

Segmen kediaman menjadi penyumbang terbesar dengan jualan RM2.3 bilion atau 57% daripada jumlah keseluruhan, dipacu oleh projek perbandaran EcoWorld.

 

Zon Selatan yang merangkumi Iskandar Malaysia menyumbang RM1.97 bilion atau 49% daripada jumlah jualan, manakala wilayah Tengah yang meliputi Lembah Klang dan Negeri Sembilan menyumbang RM1.79 bilion atau 44%.

 

Wilayah Utara pula menyumbang RM296 juta atau 7% daripada jumlah jualan kumpulan.

 

Perjanjian pusat data tambah nilai jualan

Perjanjian RM1.01 bilion bersama Tera Data Centers melibatkan penjualan dua bidang tanah industri seluas 89.72 hektar di Eco Business Park VII di Negeri Sembilan.

 

Tanah berkenaan terletak dalam QUANTUM Pulse, iaitu zon khusus pusat data dalam pembangunan Eco Business Park VII.

 

Bagi suku ketiga FY2026, keuntungan bersih EcoWorld meningkat 10.86% kepada RM112.16 juta daripada RM101.17 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil suku ketiga turut meningkat 27.51% kepada RM971.53 juta daripada RM761.93 juta, disokong oleh sumbangan beberapa projek termasuk Eco Botanic, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I dan II di Selatan serta Eco Majestic, Eco Forest, Eco Grandeur dan Eco Business Park V di Tengah.

 

Dalam perkembangan sama, EcoWorld mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 2 sen sesaham bagi suku berkenaan, menjadikan jumlah dividen yang diumumkan bagi FY2026 setakat ini sebanyak 6 sen sesaham berbanding 5 sen dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Momentum jualan turut membantu mengurangkan nisbah hutang kasar dan hutang bersih kumpulan masing-masing kepada 0.57 kali dan 0.21 kali pada akhir Julai 2026 manakala baki tunai termasuk deposit dan dana jangka pendek berjumlah RM2.28 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved