SHAH ALAM – Seorang pemandu lori didenda RM42,000, manakala empat lelaki warga Myanmar dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana memiliki serta mengawal lebih 4.8 tan minyak masak tanpa lesen, empat bulan lalu.
Hukuman itu dijatuhkan selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Ainul Bashirah Dona Don Biyajid.
Pemandu lori, Moo Teck Lim, 50, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Empat warga Myanmar iaitu Tin Saw Oo, 21, Pyae Phyo Maung, 21, Ko Lin, 36, dan Kyaw San Linn, 37, pula diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 14 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama memiliki dan mengawal barang berjadual iaitu minyak masak seberat 4,845 kilogram.
Mereka didapati memiliki minyak masak tersebut dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa satu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu menjalankan urusan minyak masak secara borong tanpa lesen, telah dilakukan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bandar Pinggir Subang, Seksyen U5, di sini, kira-kira jam 3.30 petang pada 14 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa daripada Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya telah menyerbu premis berkenaan pada hari kejadian.
Serbuan itu menemukan lima tertuduh bersama cecair disyaki minyak masak serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Kegiatan tersebut dipercayai dijalankan dengan menggunting peket minyak masak sebelum kandungannya dipindahkan ke dalam tong untuk tujuan tertentu.
Pihak berkuasa kemudian menyita minyak masak, sebuah lori dan peralatan lain dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM124,652.50.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Sallim Wahid, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Vijey Esvaren Advocates & Solicitors.
Pada 17 Julai lalu, media melaporkan Teck Lim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.






