Warga emas usia 64 tahun rogol remaja dipenjara 13 tahun, 4 sebatan

18 Nov 2026 • 6:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga emas usia 64 tahun rogol remaja dipenjara 13 tahun, 4 sebatan
Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan terhadap warga emas atas kesalahan merogol remaja perempuan berusia 19 tahun, empat tahun lepas. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan terhadap warga emas atas kesalahan merogol remaja perempuan berusia 19 tahun, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Datuk Dean Wayne Daly membuat keputusan sebulat suara itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan membebaskan Nasir Sharif, 64, selaku responden.

"Kami berpendapat hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan berada dalam lingkungan budi bicara yang wajar. Oleh itu, kami memerintahkan agar waran pemenjaraan dikeluarkan untuk responden dipenjarakan," kata Hakim Ahmad Shahrir, yang menyampaikan keputusan hari ini.

Hakim Ahmad Shahrir berkata, hakim Mahkamah Sesyen mendapati mangsa yang merupakan saksi pendakwaan kedua (SP2) adalah saksi boleh dipercayai dan Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang dapatan bahawa mangsa adalah seorang saksi tidak boleh dipercayai.

"Prinsip undang-undang adalah mantap bahawa kebolehpercayaan saksi berada dalam ruang lingkup hakim bicara dan kami berpuas hati bahawa keterangan SP2 boleh dipercayai dan selamat untuk disandarkan," katanya.

Nasir didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Rompin, Pahang pada 3 petang, 12 Mei 2022 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Mahkamah Sesyen Kuantan pada 5 Mac 2024 menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan terhadap lelaki itu selepas didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuantan pada 13 Januari 2026 membebaskan Nasir selepas membenarkan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala Nasir diwakili peguam Mohammed Hissham Ramdzan. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved