
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 45 tahun dari Selangor didenda RM1,100 kerana memiliki racun yang dihantar untuk pengangkutan yang tidak mematuhi keperluan pembungkusan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Bin Bin @ Lim Poh Bin selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan dihadapinya.
Bagi pertuduhan pertama, Lim didenda RM500 atau berdepan hukuman penjara 20 hari kerana memiliki Daktarin 15G yang mengandungi Miconazole, bahan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952, pada jam 8 pagi, 8 September 2021 di Pejabat Pos Luyang, Damai Plaza, Luyang, dekat sini.
Bagi pertuduhan kedua, dia diperintahkan membayar denda RM600 lagi atau dipenjara 25 hari kerana memiliki Clarinase 24HR yang mengandungi Loratadine dan Pseudoephedrine , yang turut disenaraikan sebagai racun dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952, di lokasi dan masa yang sama.
Pertuduhan menyatakan bahawa produk itu dihantar untuk pengangkutan ke pejabat pos tetapi tidak mematuhi keperluan pembungkusan yang ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama.
Semasa mitigasi, peguam Prem Elmer Ganasan yang mewakili Lim memohon tiada hukuman penjara dikenakan dan meminta denda minimum sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan.
Prem memaklumkan mahkamah bahawa Lim mempunyai tiga anak yang perlu ditanggung dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Katanya, Lim tidak berniat menyalahgunakan produk berkenaan dan amat menyesali perbuatannya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Lim Lay Peng dari Jabatan Farmasi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Lim.
Mahkamah dimaklumkan bahawa sepasukan pegawai dari Jabatan Farmasi pergi ke pejabat pos selepas menerima maklumat daripada orang awam bahawa Lim telah menghantar produk yang mengandungi racun tetapi tidak mematuhi keperluan pembungkusan.


