Milux bawa pengambilalihan Movon RM150 juta untuk undian pemegang saham 29 September

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 12:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Milux bawa pengambilalihan Movon RM150 juta untuk undian pemegang saham 29 September Image from: Milux bawa pengambilalihan Movon RM150 juta untuk undian pemegang saham 29 September liza07/09/2026 - 12:03 Oleh JOHARDY IBRAHIM liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept - Milux Corporation Bhd akan membawa cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam Movon Sdn Bhd bernilai RM150 juta untuk diputuskan oleh pemegang saham yang tidak berkepentingan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 29 September ini.

 

Langkah itu menyusuli kelulusan Bursa Securities pada 20 Ogos lalu bagi penyenaraian dan sebut harga saham baharu yang akan diterbitkan sebagai pertimbangan bagi pengambilalihan tersebut, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

 

Menurut pekeliling kepada pemegang saham yang difailkan kepada Bursa Malaysia hari ini, Lembaga Pengarah Milux, tidak termasuk pengarah berkepentingan, berpandangan cadangan itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan mengesyorkan pemegang saham yang tidak berkepentingan mengundi menyokong resolusi berkenaan.

 

Harga pembelian RM150 juta itu ditentukan atas dasar pembeli dan penjual yang bersedia, dengan mengambil kira penilaian bebas yang meletakkan nilai keseluruhan kepentingan ekuiti Movon antara RM140 juta hingga RM171.4 juta.

 

Berdasarkan purata keuntungan selepas cukai (PAT) yang ditetapkan di bawah komitmen keuntungan sebanyak RM11.5 juta setahun, pertimbangan RM150 juta itu membayangkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 13.04 kali.

 

Sasaran keuntungan dan risiko

Di bawah komitmen tersebut, Kumpulan Movon perlu mencapai PAT diaudit sekurang-kurangnya RM8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan RM15 juta bagi FY2027, atau sekurang-kurangnya RM23 juta secara agregat bagi kedua-dua tempoh.

 

Saham yang dicagarkan akan ditempatkan dalam akaun sekuriti yang dikendalikan pemegang amanah sebagai sekuriti berhubung komitmen keuntungan itu.

 

Bagaimanapun, Milux mengingatkan bahawa tiada kepastian sasaran keuntungan berkenaan akan dicapai kerana ia bergantung kepada pelbagai andaian serta tertakluk kepada ketidakpastian dan keadaan di luar kawalan Movon.

 

Syarikat turut mengenal pasti risiko pelaburan, termasuk kemungkinan manfaat yang dijangkakan daripada pengambilalihan itu tidak dapat direalisasikan atau pulangan yang dijana tidak mencukupi untuk mengimbangi kos pelaburan.

 

Selain itu, Milux berdepan risiko integrasi melibatkan penyatuan operasi dengan model perniagaan berbeza, penyelarasan pasukan pengurusan serta proses perniagaan selepas urus niaga diselesaikan.

 

Cadangan yang diumumkan pada Julai lalu melibatkan pembelian 298.15 juta saham Movon, mewakili keseluruhan modal saham terbitannya, dengan pertimbangan RM150 juta dipenuhi sepenuhnya menerusi penerbitan kira-kira 220.59 juta saham baharu Milux pada harga 68 sen sesaham.

 

Milux berkata, pengambilalihan itu akan memberikannya akses kepada rangkaian jualan dan pengedaran Movon serta ekosistem sewa untuk milik (R2O), manakala penyatuan keputusan kewangan Movon dijangka mengukuhkan asas pendapatan kumpulan yang diperbesarkan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved