
PETALING JAYA: Permintaan pembeli dari China terhadap hartanah Malaysia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sedekad pada separuh pertama tahun ini, dengan minat semakin beralih kepada golongan ekspatriat dan keluarga yang mahu menduduki kediaman itu sendiri.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Malaysia kini menjadi destinasi keempat paling popular dalam kalangan pembeli hartanah China, berbanding tempat keenam pada 2025 dan ketujuh bagi tempoh 2022 hingga 2024.
Ujarnya, data pertanyaan pembeli Juwai IQI menunjukkan bahagian Malaysia daripada keseluruhan pertanyaan pembelian hartanah luar negara oleh rakyat China meningkat ketara kepada 7.3 peratus pada separuh pertama 2026, berbanding 4.5 peratus pada 2025 dan hanya 2.8 peratus pada 2024.
“Tidak pernah sebelum ini dalam dekad ini Malaysia begitu popular dalam kalangan pembeli dari China.
“Sebagai perbandingan, Thailand dan Australia menduduki dua tempat teratas, manakala United Kingdom di tempat ketiga. Malaysia pula mengatasi Amerika Syarikat yang berada di tempat kelima serta Greece yang turut menjadi destinasi popular bagi program visa emas,” katanya dalam kenyataan.
Kashif berkata, data pasaran daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) turut menyokong peningkatan minat terhadap kediaman bernilai tinggi.
Jelasnya, pada suku pertama tahun ini, hanya kediaman berharga RM1 juta dan ke atas merekodkan peningkatan jumlah transaksi, iaitu 1.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Rumah berharga melebihi RM1 juta juga menyumbang bahagian lebih besar daripada keseluruhan transaksi berbanding dua tahun sebelumnya.
“Segmen itu menyumbang 9.2 peratus daripada jumlah transaksi pada suku pertama, meningkat daripada 7.9 peratus pada 2024 dan 8.3 peratus pada 2025,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan harga dan jumlah transaksi dalam segmen hartanah bernilai tinggi mencerminkan minat kukuh pembeli, termasuk daripada China.
“Rakyat China merupakan kumpulan pembeli asing paling aktif pada separuh pertama 2025, mengatasi pembeli dari Singapura, dengan pelaburan sebanyak RM835 juta dalam hartanah kediaman.
“Ini bermakna pembeli China menyumbang kira-kira 51 peratus daripada keseluruhan pelaburan hartanah oleh warga asing.
“Jika angka itu disetahunkan, jumlahnya melebihi RM1.6 bilion dalam pelaburan hartanah,” katanya.
Menurut Kashif, corak pembelian baharu daripada rakyat China kini lebih tertumpu kepada faktor pendidikan dan gaya hidup berbanding semata-mata pelaburan luar pesisir.
“Persaingan sengit dalam sistem pendidikan China mendorong sebahagian ibu bapa mempertimbangkan untuk berpindah bersama anak mereka ke persekitaran yang lebih sesuai, selain menawarkan laluan kepada pendidikan di universiti antarabangsa atau China.
“Golongan ibu bapa ini berminat dengan hab ekspatriat seperti Mont Kiara, Desa ParkCity dan Pulau Pinang yang mempunyai sekolah antarabangsa berkualiti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kashif berkata, program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) turut menunjukkan perkembangan positif dengan lebih 50 peratus permohonan dikemukakan oleh pemohon dari China.
Beliau berkata, program itu meluluskan permohonan membabitkan 9,038 peserta pada tahun lalu, yang menyumbang kira-kira RM3.875 bilion nilai ekonomi kepada Malaysia.
“Penerima visa itu turut melabur RM1.512 bilion dalam sektor hartanah.
“Walaupun ada pihak berpendapat MM2H semakin kurang menarik, realitinya adalah sebaliknya kerana program itu mencatat jumlah jauh lebih rendah pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya. – UTUSAN
The post Minat pembeli China terhadap hartanah Malaysia cecah paras tertinggi appeared first on Utusan Malaysia.






