Harga Emas Gugup Akibat Trump Tolak Semua Cadangan Iran

Business & Finance
19 Aug 2026 • 9:31 AM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Harga Emas Gugup Akibat Trump Tolak Semua Cadangan Iran

XAU/USD goyah pada kedudukan tertinggi selepas susut daripada paras tertinggi sekitar $4,450 yang dicapai pada awal Jun.

Tekanan terhadap emas meningkat apabila hasil bon kerajaan global melonjak ke paras tertinggi dalam beberapa tahun. Hasil bon 30 tahun AS mencecah paras tertinggi sejak 2007, manakala hasil bon 10 tahun Jepun dan Jerman turut meningkat ke paras tertinggi dalam beberapa dekad.

Pada jam 9 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,338 iaitu stabil sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.

Hasil Bon Tinggi Beri Tekanan Kepada Emas

Kenaikan hasil bon meningkatkan kos peluang untuk memegang emas kerana logam berharga itu tidak menawarkan pulangan faedah.

Di Jepun, jangkaan bahawa Bank of Japan (BoJ) berpotensi menaikkan kadar faedah seawal September mendorong hasil bon 10 tahun ke paras tertinggi dalam tempoh tiga dekad.

Di Eropah pula, hasil bon 10 tahun Jerman meningkat ke paras tertinggi sejak 2011, manakala hasil bon Perancis mencapai paras tertinggi sejak 2008.

Konflik AS-Iran Kekal Risiko

Ketegangan antara AS dan Iran serta ketidakpastian berkaitan Selat Hormuz turut menjadi perhatian pasaran.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini menolak cadangan Iran untuk mencapai penyelesaian, manakala Washington turut menegaskan pendirian yang lebih keras terhadap Tehran. Perkembangan itu meningkatkan ketidakpastian terhadap hala tuju konflik dan rundingan antara kedua-dua negara.

Dalam masa sama, Trump berkata tiada rundingan yang sedang berlangsung atau dijadualkan dengan Iran, sekali gus meningkatkan risiko konflik berpanjangan.

Kenaikan harga tenaga susulan ketegangan tersebut berpotensi mencetuskan semula tekanan inflasi global, sekali gus menyebabkan bank pusat lebih berhati-hati untuk melonggarkan dasar monetari.

Trafik kapal komersial melalui Selat Hormuz dan Bab al-Mandeb juga masih berada pada paras rendah, meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dan kos pengangkutan global.

Jangkaan Fed Sokong Emas

Bagaimanapun, emas masih mendapat sokongan daripada jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) mungkin tidak menaikkan kadar faedah pada September.

Data inflasi AS yang lebih rendah serta kelemahan Retail Sales sebelum ini menyebabkan pelabur mengurangkan jangkaan terhadap pengetatan dasar monetari.

Pasaran kini mengunjurkan sekitar 65% kebarangkalian Fed mengekalkan kadar faedah pada September, sekali gus memberi sedikit sokongan kepada emas melalui tekanan terhadap USD.

INTRADAY.MY Forecast

Emas berpotensi bergerak dalam keadaan volatile selagi hasil bon AS kekal tinggi dan pasaran menilai semula hala tuju dasar Fed.

Dalam masa sama, perkembangan konflik AS-Iran dan Selat Hormuz bakal menjadi pemacu penting kepada harga emas, khususnya sekiranya ketegangan geopolitik kembali meningkatkan permintaan terhadap aset perlindungan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved