Misi Hisamudin angkat martabat futsal

15 Sep 2026 • 5:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Misi Hisamudin angkat martabat futsal

 

PETALING JAYA – Mengangkat imej futsal menjadi antara agenda utama yang akan diperjuangkan oleh calon Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hisamudin Yahaya sekiranya terus diberi kepercayaan oleh ahli gabungan.

Mengambil kira potensi, pemain futsal di negara ini mampu melangkah lebih tinggi malah sukan berkenaan mempunyai pengikut tersendiri sekali gus memerlukan perhatian yang lebih seimbang seperti dikecapi bola sepak.

Antara perancangan yang mahu dilaksanakan Hisamudin sekiranya kembali berada dalam barisan kepimpinan FAM adalah mengembalikan pertandingan futsal Bawah 19 Tahun (B-19) tahun yang dilihat penting dalam menyediakan laluan pembangunan pemain muda.

Hisamudin percaya, Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat di peringkat akar umbi, namun bakat berkenaan perlu diberikan ruang, platform pertandingan dan sistem pembangunan yang lebih konsisten untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.

“Bagi saya, kita perlu kembalikan pertandingan B-19 kerana di peringkat akar umbi kita sebenarnya mempunyai ramai bakat yang bagus. Kalau ada pertandingan yang tersusun, kita boleh mengenal pasti pemain terbaik dan membentuk mereka untuk menjadi pelapis kepada skuad kebangsaan,” katanya.

Hisamudin yang juga pengurus pasukan ketika skuad futsal Bawah 19 (B-19) meraih gangsa di Piala ASEAN B-19, tahun lalu menjelaskan perjuangannya untuk membangunkan futsal Malaysia masih belum selesai, khususnya selepas terpaksa melepaskan jawatan sebelum ini sehingga tidak berpeluang membantu skuad futsal kebangsaan yang berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2026 di Jakarta, Indonesia.

“Saya rasa perjuangan saya dalam futsal sebelum ini belum selesai. Saya terpaksa melepaskan jawatan dan tidak dapat meneruskan usaha membantu pasukan futsal yang ketika itu sudah layak ke Piala Asia. Namun, saya tidak tinggalkan pemain, saya hadir atas kapasiti peribadi untuk berikan sokongan.

“Jadi, kalau diberi peluang sekali lagi dalam pemilihan kali ini, saya mahu teruskan perjuangan itu dan memastikan futsal Malaysia kembali mendapat perhatian serta berada pada kedudukan yang lebih baik.

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan ahli gabungan untuk membuat pilihan. Mereka lebih tahu siapa yang boleh membantu FAM dan bola sepak Malaysia, kalau diberi kepercayaan, saya akan cuba lakukan yang terbaik, khususnya untuk meneruskan perjuangan dalam futsal yang saya anggap masih belum selesai,” katanya yang sebelum ini berperanan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM. – KOSMO! ONLINE

 

The post Misi Hisamudin angkat martabat futsal appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved