Misi kayuhan 350km berjaya, Bottas selamat tiba di Singapura

7 Oct 2026 • 10:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Misi kayuhan 350km berjaya, Bottas selamat tiba di Singapura
Bottas (kanan) melintasi CIQ Sultan Iskandar kira-kira jam 2.20 petang Rabu sebelum meneruskan kayuhan melalui Woodlands. Foto: AsiaOne

KETIKA kebanyakan pelumba Formula Satu (F1) memilih pesawat peribadi untuk menuju ke Singapura, Valtteri Bottas pula memilih dua roda, mengayuh sejauh 350 kilometer (km) dari Sepang sebelum tiba di negara itu petang tadi.

Memetik laporan AsiaOne, pelumba Cadillac berusia 37 tahun itu melintasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar kira-kira jam 2.20 petang sebelum meneruskan kayuhan melalui Woodlands.

Bottas yang ditemani Shaiful Nizam Yahya sejak perjalanan itu bermula pada Ahad malam, kemudian dilihat meneruskan kayuhan sambil sesekali mengukir senyuman dan mengangkat isyarat kemenangan.

Lebih menarik, perjalanan berkenaan tercetus selepas Bottas menamatkan GP Bahrain di Sepang lebih awal apabila terbabas ke kawasan batu kerikil dalam keadaan litar basah.

Tidak menunggu lama selepas perlumbaan berakhir, pelumba Finland itu memulakan 'perlumbaan' versinya sendiri ke Singapura dengan mengayuh sejauh 56.6 kilometer dalam tempoh 128 minit.

Bottas kemudian tiba di Kulai, Johor, pada petang Selasa sebelum menyambung kayuhan ke Singapura hari ini.

Namun, perjalanan itu bukan hanya menarik perhatian peminat F1 apabila seorang jurulatih kecergasan di Singapura turut sanggup berbasikal dari Tanah Merah ke Woodlands untuk bertemu Bottas.

Wilfred Diepeveen, 41, yang berasal dari Belanda dan sudah menetap di Singapura selama 12 tahun, menunggu ketibaan Bottas di Woodlands Crossing.

“Saya hanya mahu berbasikal bersamanya sehingga ke destinasinya,” katanya kepada AsiaOne.

Hasrat Wilfred itu tercapai apabila dia kemudian menyertai Bottas dan Shaiful, dengan ketiga-tiga mereka dilihat mengayuh bersama melalui kawasan berhampiran Kranji War Memorial.

Wilfred yang juga peminat berbasikal pernah melakukan perjalanan jarak jauh sebelum ini apabila mengayuh dari bilik pameran MG Singapore di Leng Kee ke Kuala Lumpur pada April lalu bagi menyokong Tour de Cure, inisiatif global mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran mengenai penyelidikan kanser.

Bottas kini boleh mengalihkan fokus kepada GP Singapura yang dijadual berlangsung di Litar Jalan Raya Marina Bay dari 9 hingga 11 Oktober ini.

Dalam kedudukan semasa, Bottas berada di tangga ke-22 keseluruhan, manakala rakan sepasukannya di Cadillac, Sergio Perez, menghuni tempat ke-23.

Perjalanan 350 kilometer tersebut memberikan warna berbeza kepada kemunculan Bottas di Singapura, selepas pelumba F1 itu memilih pengalaman di atas pelana basikal berbanding perjalanan biasa menggunakan kenderaan bermotor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved