
Misteri Kematian Empat Sekeluarga, Maut Beberapa Jam Selepas Makan Tembikai
Kematian empat sekeluarga di Bhendi Bazaar, India beberapa jam selepas makan tembikai menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Memetik laporan Times of India, mereka sebelum itu menikmati hidangan biryani bersama lima lagi saudara-mara pada Sabtu.
Selepas jamuan makan malam tersebut selesai, mereka semua pulang ke rumah masing-masing.
Mangsa yang dikenali sebagai Abdulla Dodakia, 44, Nasreen, 35, serta anak perempuan mereka Ayesha, 16, dan Zainab, 12, dikatakan menikmati buah tembikai sekitar jam 1 pagi.

Kemudian, antara jam 5 pagi hingga 5.30 pagi Ahad, keempat-empat mereka mula menunjukkan simptom muntah dengan ketidakselesaan yang teruk.
Kekecohan mula tercetus pada pagi itu, menyebabkan jiran memanggil seorang pengamal homeopati dari tingkat empat, Zaid Qureshi.
"Mulut Zainab pada waktu itu mula berbuih dan nadinya tidak dapat dikesan. Tiga ahli keluarga yang lain berada dalam keadaan separa sedar," ujarnya.
Kemudian, jiran-jiran membawa ahli keluarga tersebut ke Hospital Saboo Siddique. Selepas itu, tiga dari mereka iaitu Abdulla, Nasreen dan Ayesha dipindahkan ke Hospital JJ.
Zainab kemudian disahkan meninggal pada jam 10.30 pagi, diikuti dengan Nasreen tiga jam kemudian. Ayesha pula disahkan meninggal dunia sekitar jam 5.15 petang, disusuli Abdulla kira-kira 10.15 malam.
Doktor di Hospital JJ turut berasa hairan dengan kejadian tersebut dan memberitahu bahawa tiga orang mangsa menunjukkan simptom keracunan makanan dan buah pinggang mereka turut terjejas teruk.
"Sangat mustahil sekiranya tembikai basi boleh menyebabkan empat kematian dalam tempoh yang begitu singkat sehinggakan semua usaha pihak perubatan untuk menyelamatkan mereka gagal," tambahnya.
Sementara itu, pihak polis dari Balai Polis JJ Marg telah menjalankan siasatan terhadap kes ini dan kenyataan awal Abdulla dan Ayesha telah direkodkan sewaktu mereka berada dalam keadaan separa sedar.
“Mereka mengatakan mengalami muntah dan cirit-birit selepas makan tembikai tersebut. Setakat ini tiada unsur jenayah disyaki. Kami masih menunggu laporan bedah siasat dan forensik,” kata seorang pegawai polis.
Terdapat banyak spekulasi, termasuk dalam kalangan komuniti perubatan, mengenai apa yang sebenarnya berlaku, namun setakat ini tiada jawapan muktamad.
Sementara itu, doktor forensik berkata sampel cucian perut (gastric lavage) dan organ dalaman telah disimpan untuk analisis lanjut. Selain itu, sampel tembikai itu juga telah dihantar untuk ujian.
Selepas berita kematian keluarga itu tersebar, beberapa peniaga di Bhendi Bazaar mula berhenti menjual buah tersebut.
Namun, para doktor menegaskan bahawa ia adalah buah yang selamat. Tembikai merupakan buah kegemaran pada musim panas kerana dianggap sebagai buah yang menghidratkan, dengan kandungan lebih 90% air.
Sementara itu, ketua jabatan gastroenterologi di Hospital KEM, Parel, Dr Akash Shukla, menegaskan bahawa tembikai walaupun sudah basi, tidak mungkin boleh menyebabkan kematian.







