MK K-Clique Kini Sah Bergelar Suami Orang Hanya Dengan Sekali Lafaz

16 Jun 2023 • 11:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
MK K-Clique telah selamat bergelar suami kepada Siti Hajaar dengan hanya sekali lafaz pada jam 9.35 pagi tadi. - Gambar Instagram

Penyanyi terkenal, MK K-Clique telah selamat bergelar suami kepada wanita yang dikenali sebagai Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, dengan hanya sekali lafaz pada jam 9.35 pagi tadi.

Majlis akad nikah telah diadakan di Masjid Jami’ul Huda, Ampang dan dihadiri oleh keluarga, sahabat handai dan juga pihak media. 

Pada majlis itu, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Handan, 27, telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid, Mahdi Mat Zain berwalikan bapa kepada pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Dr Syeikh Nordin Sheik Ahmad.

MK juga telah memberikan mas kahwin sebanyak RM302 kepada isterinya beserta seutas gelang tangan. Namun jumlah wang hantaran telah dirahsiakan.

“Assalamualaikum, sayang. Alhamdulillah telah selesai semuanya. Dan ini adalah mas kahwin dan pemberian saya iaitu wang tunai dan seutas gelang tangan,” kata MK sewaktu menyapa isterinya di pelamin. 

Turut kelihatan hadir pada majlis tersebut ialah rakan-rakan daripada kumpulan K-Clique antaranya Noki. 

Majlis resepsi pula akan diadakan pada hari Sabtu di sebuah hotel yang bertempat di Klang, Selangor. 

Terdahulu beberapa minggu yang lalu tular foto di media sosial mengatakan bahawa MK telah bertunang dengan pilihan hatinya. Namun, segala spekulasi kini sudah terjawab dengan acara akad nikah pada hari ini. 

Selamat pengantin baru diucapkan kepada MK dan isteri. Semoga mahligai yang dibina berkekalan hingga ke Jannah. – Getaran, 16 Jun 2023