
KUALA LUMPUR 18 Dis – MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports) bekerjasama dengan NIZE Intelligent Technology Co Ltd (NIZE) bagi merangka pelan induk transformasi digital lima tahun untuk operasi pelabuhannya, berasaskan pengalaman Shanghai International Port (Group) Co Ltd (SIPG), pengendali Pelabuhan Shanghai yang mengendalikan 51.5 juta TEU pada 2024.
Dalam satu kenyataan hari ini, MMC Ports berkata kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan pelan hala tuju digital yang praktikal dan boleh dilaksanakan, berasaskan rangka kerja serta seni bina teknologi yang telah digunakan dalam operasi pelabuhan terbesar dunia itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata pelan induk digital berkenaan dirangka berasaskan realiti operasi sebenar pelabuhan.
“Syarikat melaksanakan transformasi digital ini berdasarkan realiti operasi. Melalui kerjasama dengan NIZE, pelan induk digital MMC Ports akan dibangunkan berasaskan seni bina teknologi yang telah diuji di lapangan, khususnya dalam persekitaran pelabuhan berskala besar seperti Shanghai,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan semua pelabuhan di bawah kumpulan MMC Ports mempunyai laluan yang jelas ke arah kecekapan operasi bertaraf antarabangsa, selari dengan keperluan perdagangan dan logistik global yang semakin kompleks.
Sementara itu, Pengurus Besar NIZE Steven Huang berkata NIZE berbesar hati berkongsi kepakaran digital yang telah terbukti dalam operasi SIPG dengan MMC Ports.
“Bersama-sama, kami menumpukan kepada pembangunan pelan induk yang memberi nilai operasi sebenar, bukan sekadar teknologi semata-mata, dan pada masa sama menetapkan penanda aras baharu bagi transformasi digital pelabuhan di rantau ini,” katanya.
Di bawah rangka kerja kerjasama selama lima tahun itu, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan melibatkan tiga inisiatif teras.
Antaranya ialah pembangunan Pelan Hala Tuju Induk Digital MMC Ports yang merangkumi strategi pendigitalan berteraskan perniagaan untuk tempoh lima tahun, termasuk penilaian infrastruktur sedia ada, sistem, susun atur terminal, tahap automasi serta analitik dan pengurusan kitar hayat data merentasi semua syarikat operasi MMC Ports.
Kerjasama itu turut melibatkan pembangunan Papan Pemuka Kumpulan MMC Ports, iaitu papan pemuka bersepadu di peringkat kumpulan bagi memantau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) strategik merangkumi operasi, peralatan, kewangan, komersial dan kelestarian, dengan keupayaan penelusuran daripada peringkat kumpulan hingga ke terminal individu.
Selain itu, projek Bukti Konsep Digital Twin akan dilaksanakan di pelabuhan yang dikenal pasti bagi menilai kebolehlaksanaan penggunaan replikasi maya dalam meningkatkan perancangan operasi dan kecekapan keseluruhan.
Menurut MMC Ports, pelan induk digital lima tahun itu dijangka menjadi asas kepada penggunaan teknologi termaju secara berperingkat di rangkaian pelabuhannya, dengan mencontohi amalan terbaik Pelabuhan Shanghai, sekali gus menyokong agenda kecekapan, kebolehpercayaan dan daya saing jangka panjang sektor pelabuhan Malaysia.
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di ibu pejabat MMC Ports di Kuala Lumpur, melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports Datuk Azman Shah Mohd Yusof, dan Pengurus Besar NIZE Steven Huang.
Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi MMC Ports merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, serta Pengerusi NIZE dan Naib Presiden SIPG Sam Liu.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai kanan dan barisan ketua teknikal daripada kumpulan MMC Ports yang merangkumi Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, Johor Port Berhad, Northport (Malaysia) Bhd dan Penang Port Sdn Bhd. - DagangNews.com

